Skip to main content

Malaysia

MAIPs salur bantuan Ibnu Sabil kepada rakyat Malaysia di Australia

Sumber: Majlis Agama Islam Perlis
Tuanku Syed Faizuddin bersama keluarga menyerahkan simbolik penyerahan sumbangan bantuan Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5,000 di perkarangan 'Quadrangle' di The University of Sydney kepada Nabil Muzhaffar (dua dari kiri). Hadir sama Khairuddin Akmal (kiri). - Gambar ihsan MAIPs
Advertisement

SYDNEY: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperkasakan peranan zakat merentasi sempadan menerusi inisiatif Ibnu Sabil bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan kesukaran ketika berada di luar negara.

Inisiatif itu dilaksanakan susulan keperluan mewujudkan jaringan sokongan yang tersusun bagi menangani kecemasan melibatkan komuniti Malaysia di Australia yang merangkumi lebih 12,000 pelajar, puluhan ribu penduduk kelahiran Malaysia serta ratusan ribu pelawat setiap tahun.

Bantuan Ibnu Sabil diwujudkan sebagai jaringan keselamatan sosial khusus untuk rakyat Malaysia yang terputus bekalan kewangan, berada dalam situasi kecemasan atau menghadapi kesukaran untuk meneruskan perjalanan.

Perkara itu disampaikan oleh Atase Pendidikan Education Malaysia (EM) Australia yang juga Pemangku Ketua Pos Konsulat Malaysia di Sydney, Nabil Muzhaffar Amir Hamzah kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan simbolik sumbangan bantuan Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5,000 yang berlangsung di perkarangan Quadrangle, The University of Sydney, baru-baru ini.

Menurut MAIPs, kehadiran komuniti Malaysia yang besar di Australia menjadikan mekanisme sokongan seperti bantuan Ibnu Sabil penting dalam memastikan kebajikan rakyat negara ini sentiasa terpelihara ketika berada di perantauan.

Selain memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik dan pembinaan rangkaian profesional, pelajar Malaysia di luar negara juga disaran terus menjaga nama baik negara, mengukuhkan semangat persaudaraan serta memanfaatkan pengalaman di perantauan untuk disumbangkan kembali kepada tanah air.

Turut berangkat mengiringi baginda berdua ialah anakanda-anakanda diraja, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama Konsul Muda (Pertanian) Pejabat Penasihat Pertanian Malaysia, Khairuddin Akmal Mohamad Kamal serta Pembantu Tadbir (Kewangan) Pejabat Education Malaysia (EM) Australia, Muhammad Razin Khaliq Hadi.

MAIPs berkata, usaha berterusan itu mencerminkan komitmen institusi berkenaan dalam menjadikan zakat sebagai instrumen kebajikan yang dinamik, sekali gus melengkapi peranan perwakilan Malaysia terpilih di luar negara sebagai barisan hadapan dalam menjaga kebajikan rakyat Malaysia di perantauan.

Dek portal alternatif: MAIPs memperkukuh fungsi zakat menerusi bantuan Ibnu Sabil bagi membantu rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan kecemasan atau kesulitan kewangan.

Must Watch Video

Advertisement