BANGI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyasarkan kesemua masjid di negeri itu mengadaptasi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan dalam pengurusan masing-masing, berbanding kira-kira 30 peratus yang telah mengamalkannya ketika ini.
Setiausaha MAIS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pihaknya bersama-sama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang berusaha menerapkan sistem kewangan secara digital di masjid bagi memastikan pengurusan kewangan lebih teratur, selain menjadikan proses pembukuan lebih telus dan memudahkan dokumentasi untuk tujuan audit.
Beliau berkata terdapat juga masjid yang mengambil inisiatif sendiri mendigitalkan data kariah bagi memudahkan urusan, termasuk ketika bancian oleh pihak zakat, sekali gus membolehkan maklumat yang lebih tepat dan telus diperoleh.
“Memanglah disasarkan 100 peratus tetapi penambahan-penambahan amalan ini tertakluk kepada ketersediaan masjid (untuk menerima pakai teknologi).
“Ada yang mempunyai sistem atau keperluan asas sedia ada di masjid tu, mungkin cepatlah. Contohnya mungkin dapat dilaksanakan lebih cepat di kawasan-kawasan bandar yang mempunyai kelengkapan yang lebih berbanding dengan kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Pengurusan Masjid, Zakat dan Wakaf (IMAF) ke-12, di sini, hari ini.
Mohd Sabirin berkata MAIS turut menyediakan kursus pengurusan kewangan dan pembukuan secara digital secara percuma kepada pihak pengurusan masjid secara berkala mengikut daerah.
Beliau berkata AI turut mula digunakan dalam operasi harian MAIS, khususnya bagi menyeragamkan kaedah pelaporan dan meringkaskan maklumat yang sebelum ini disediakan menggunakan kaedah tradisional.
Sementara itu, Pengarah IMAF Dr Md Rozalafri Johori berkata persidangan kali ke-12 anjuran Masjid Al-Azhar Universiti Islam Selangor (UIS) itu berjaya menghimpunkan 49 kertas pembentangan secara dalam talian dan bersemuka, termasuk penyertaan Qatar dan Pakistan secara dalam talian.
Beliau berkata aspek etika dalam penggunaan AI, termasuk dalam pengurusan institusi Islam, merupakan antara perkara penting yang diberi perhatian pada persidangan itu.
"Resolusi hasil persidangan akan dibawa ke peringkat universiti terlebih dahulu sebelum dikembangkan ke peringkat seterusnya untuk diterjemahkan kepada tindakan," katanya.
Pada majlis perasmian persidangan itu, Bernama TV menerima pengiktirafan sebagai Rakan Media Kolaboratif Strategik oleh Masjid Al-Azhar UIS.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Shukri Ishak mewakili agensi itu untuk menerima pengiktirafan tersebut.
-- BERNAMA