Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan disaran memperluaskan fungsi bantuan sedia ada dengan menyediakan guru akademik kepada sekolah tahfiz persendirian di Wilayah Persekutuan.

Sekolah berkenaan perlu dibantu kerana masalah kewangan antara punca pusat pengajian agama itu tidak dapat menyediakan guru untuk pembelajaran akademik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau telah berbincang dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom agar pihaknya dapat membantu.

Katanya selain pembinaan akidah dan akhlak dalam kalangan pelajar, pengajaran akademik juga penting kerana ilmu itu juga merupakan antara tonggak dalam membantu membangunkan kekuatan umat Islam.

Dengan penyediaan pelbagai bidang ilmu, pelajar-pelajar tahfiz akan menjadi lebih cemerlang dalam kerjaya sekali gus dapat terus membantu umat islam yang lain menerusi zakat yang dikeluarkan.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada asnaf baitulmal MAIWP di Serdang.