KAJANG: Majikan tiga buah kilang di sini, disiasat di bawah Akta Kerja 1955 kerana membuat pembayaran gaji secara tunai tanpa kerelaan pekerja dan tidak memberikan salinan penyata gaji.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, Ahmad Mudi Onn Nor berkata, Ops Banteras bermula jam 9 pagi itu dijalankan dengan memfokuskan kepada elemen buruh paksa melalui penguatkuasaan akta-akta yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Menurutnya, operasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) itu bertindak memeriksa tiga buah kilang membabitkan 189 pekerja asing terdiri daripada Bangladesh, India, Nepal dan Myanmar.

"Kilang terbabit adalah kilang sarung tangan, kilang pembungkusan dan kilang pengeluar peralatan jentera.

"JTK telah mengesan beberapa kesalahan dilakukan oleh tiga majikan kilang terbabit di bawah Akta Kerja 1955 iaitu gaji dibayar tunai tanpa persetujuan pekerja, gagal memberikan salinan kontrak perkhidmatan dan penyata gaji kepada pekerja," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, tiga pemilik kilang telah diberi amaran keras dan tindakan awal JTK telah diambil untuk siasatan lanjut.

Katanya lagi, pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan akta-akta di bawah bidang kuasa jabatan bagi memastikan keharmonian industri perburuhan.

Jelasnya, pematuhan berterusan adalah penting bagi membanteras sebarang elemen buruh paksa dan pemerdagangan orang yang boleh menjejaskan bukan sahaja keharmonian industri perburuhan bahkan menjejaskan imej negara.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesalahan seperti menyalahgunakan golongan yang lemah, penipuan, gagal membayar upah, mengehadkan pergerakan atau kebebasan serta keganasan fizikal dan eksploitasi seks boleh salurkan kepada JTK untuk tindakan lanjut," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.