KUALA LUMPUR:Tindakan tegas termasuk kompaun boleh dikenakan kepada majikan atau syarikat yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti mengadakan mesyuarat kakitangan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ekoran terdapat majikan yang melanggar SOP PKPB.

Ismail Sabri menjelaskan, arahan bekerja dari rumah masih berkuat kuasa dan majikan yang ingkar boleh dikenakan tindakan.

"Mengenai bekerja dari rumah, majikan berkaitan perlu mematuhi setiap arahan dikeluarkan.

"Jika ia membabitkan jabatan kerajaan, patuh kepada panduan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), dan begitu juga bagi industri berkaitan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Jika masih ada yang ingkar, saya akan membangkitkan perkara itu untuk diperbetulkan apa yang tidak betul.

"Insya-Allah, kita akan mengambil tindakan terhadap mereka (majikan) yang ingkar," katanya pada sidang media harian berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, pada Rabu.

Dalam sidang media yang sama. Ismail Sabri memberitahu, kadar ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) direkodkan masih berada pada tahap tinggi.

Ia susulan bilangan tangkapan dan kompaun harian oleh pasukan petugas khas operasi pematuhan terhadap individu ingkar SOP dan peraturan PKPP berada pada lingkungan tiga angka, sejak kebelakangan ini.

Ismail Sabri berkata, pihak penguat kuasa juga pernah menahan dan mengenakan kompaun kepada hampir 1,000 individu sehari, atas pelbagai kesalahan ingkar peraturan dan pelanggaran SOP PKPP.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan sentiasa mematuhi SOP dan mengamalkan kawalan kendiri pada setiap masa.

"Daripada jumlah itu, tiga kesalahan tertinggi sering dilaporkan setiap hari. Masih tidak berubah, iaitu tidak memakai pelitup muka di tempat awam, premis gagal menyediakan peralatan dan merekodkan butiran pelanggan serta gagal mematuhi penjarakan fizikal," katanya.