KUALA LUMPUR: Industri perfileman India kehilangan sebutir permata yang sukar dicari ganti apabila pengarah veteran tersohor, Bharathiraja meninggal dunia pada pagi Rabu akibat komplikasi kesihatan.
Memetik portal tempatan India Today, pemergian tokoh yang digelar Iyakkunar Imayam (pengarah maestro) berusia 84 tahun itu disahkan Majlis Pengeluar Filem Tamil.
Ia sekali gus menamatkan perjalanan seni seorang figura yang mengubah landskap perfileman Tamil selama hampir lima dekad.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Chennai, India selepas beberapa bulan berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk jangkitan paru-paru dan komplikasi pernafasan.
Laporan media tempatan sebelum ini melaporkan kesihatan Bharathiraja semakin merosot sejak tahun lalu selepas pemergian anak lelaki tunggalnya, Manoj, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 48 tahun.
Manoj turut dikenali dalam industri perfileman India sebagai pengarah dan pelakon yang pernah membintangi beberapa filem Tamil.
Dilahirkan pada 17 Julai 1941, Bharathiraja dianggap antara pengarah paling berpengaruh dalam sejarah perfileman Tamil.
Beliau mencipta revolusi apabila membawa penceritaan filem keluar daripada set studio dan mengetengahkan keindahan serta realiti kehidupan masyarakat desa sebagai latar utama karya-karyanya.
Pemergian Bharathiraja menutup satu bab penting dalam sejarah perfileman Tamil, namun legasinya dijangka terus hidup menerusi karya-karya yang dihasilkannya.
Beliau bukan sekadar seorang pengarah, sebaliknya pencetus perubahan yang memperkenalkan bahasa perfileman baharu kepada penonton India.
Keupayaannya mengangkat kisah masyarakat desa dengan sentuhan realistik menjadikan karya-karyanya relevan merentasi generasi.
Filem sulung arahannya, 16 Vayathinile yang ditayangkan pada 1977, dianggap sebagai karya penting yang mengubah wajah industri perfileman Tamil dan India.
Bharathiraja turut dikenang kerana berjaya melahirkan dan memperkenalkan ramai pelakon yang kemudiannya menjadi nama besar dalam industri perfileman Tamil.
Sepanjang kerjayanya, beliau bekerjasama dengan beberapa ikon perfileman India termasuk Rajinikanth, Kamal Haasan dan Sivaji Ganesan.
Pendekatan pengarahan beliau yang menitikberatkan realisme serta keaslian lakonan menjadikan ramai pelakon muda ketika itu berkembang menjadi bintang utama industri.
Penampilan terakhirnya di layar perak adalah menerusi filem Malayalam Thudarum yang dibintangi Mohanlal dan Shobana.
Sementara itu, filem Pulavar yang masih belum ditayangkan dijangka menjadi karya terakhir beliau sebagai pelakon.
Beliau turut dianugerahkan Padma Shri, antara penghormatan awam tertinggi yang diberikan kerajaan India kepada individu yang banyak berjasa kepada negara.
Bagi jutaan peminat filem Tamil, Bharathiraja akan terus dikenang sebagai seorang visionari yang mengubah arah perjalanan perfileman Tamil dan meninggalkan warisan seni yang sukar ditandingi.