KOTA BHARU: Lapan warga Myanmar termasuk dua wanita ditahan dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sebuah ladang durian seluas kira-kira 60 ekar di Kampung Mia, Kuala Krai.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintenden Mazlan Mamat berkata operasi hasil maklumat orang awam itu bermula pada 12 tengah malam semalam dan berakhir pada 6 pagi tadi, turut menemukan seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan bersama kumpulan berkenaan.
Beliau berkata pihak berkuasa turut merampas selaras senapang angin dan dua lembing yang dipercayai digunakan bagi tujuan pemburuan haram.
“Hasil pemeriksaan turut menemukan enam unit disyaki kuku hidupan liar, 12 unit disyaki taring hidupan liar, tujuh unit disyaki tulang hidupan liar, enam unit disyaki bahagian hidupan liar serta sebuah tong berisi daging yang dipercayai daripada hidupan liar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Larangan Mengenai Lambang dan Sebutan (AKLSB) 1958 serta Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Beliau berkata kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara polis dan Perhilitan selain hasil maklumat yang disalurkan orang awam dalam usaha membanteras aktiviti pemburuan haram dan pemilikan bahagian hidupan liar secara menyalahi undang-undang.
Menurut Mazlan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan berkaitan hidupan liar dan menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan khazanah hidupan liar negara terus terpelihara.
-- BERNAMA