KUALA LUMPUR: Majlis Autisme Kebangsaan akan dibentuk menjelang akhir tahun ini bertujuan menyelaraskan pendidikan, rawatan dan penjagaan bagi individu di bawah spektrum tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata majlis itu akan turut menggabungkan beberapa kementerian lain, agensi bukan kerajaan dan golongan ibu bapa.

“Majlis ini akan membentuk rangkaian yang menyediakan sokongan dan perkongsian maklumat yang lebih baik dalam kalangan pelbagai agensi dan badan tadbir di Malaysia.

"Seterusnya Jabatan Pendaftaran Klinikal Autisme Kebangsaan akan mengumpul data mengenai kes supaya kita mempunyai maklumat menyeluruh yang boleh membantu KKM melakukan kerja intervensi dengan lebih baik," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Bengkel Transformasi Strategi dan Memperkasa Penjagaan Autisme di ibu negara, hari ini.

Jelas beliau, sokongan yang diberikan bukan sahaja kepada kanak-kanak autism tetapi ia akan berterusan sehingga dewasa, terutama dalam aspek membantu mereka menyumbang kepada negara dari segi peluang pekerjaan dan menjana ekonomi.

Tambah Khairy, cadangan itu akan dibawa ke Kabinet dan berharap ia menjadi pemangkin kepada intervensi bersepadu berasaskan bukti bagi menyokong dan memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada individu dalam spektrum autisme.