KUALA LUMPUR: Pengumuman kerajaan menghentikan penganjuran majlis besar-besaran bagi mengelakkan pembaziran mendapat reaksi positif daripada orang ramai.

Perkara ini turut disambut baik oleh Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM) Syafiq Ridzwan Jamaluddin yang memaklumkan pihaknya gembira dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sejak tahun 2020, amalan ini wujud di peringkat perkhidmatan awam lagi di mana satu pekeliling dikeluarkan kepada semua jabatan agensi kerajaan untuk melaksanakan langkah penjimatan bagi pengurusan majlis program tertentu.

“Contohnya di peringkat MBM bersama pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), wujud guideline (garis panduan) kewangan yang harus dipatuhi, contohnya dari segi kos makanan dan tempat program yang perlu dipantau rapat.

“Ini satu langkah yang baik untuk mengingatkan semula agensi kerajaan dan badan berkepentingan supaya menggunakan dana kerajaan secara efisyen dan efektif demi kebaikan rakyat,” katanya kepada Astro AWANI dalam program Pantau Kerajaan Baharu, hari ini.

Tambah Syafiq, pendekatan mengamalkan perbelanjaan berhemah mula dilaksanakan sejak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memegang jawatan sebagai Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga pada 2018 lagi.

“Saranan Perdana Menteri untuk menghentikan penganjuran majlis besar-besaran yang gah dan meriah bagi elak pembaziran bermaksud dalam bentuk ceremonial melibatkan majlis pelancaran polisi dan lain-lain.

“Namun begitu, publisiti atau inisiatif perlu dilakukan untuk mewar-warkan mengenai aktiviti namun biarlah dalam skala sederhana.

"Maksudnya, bukan batalkan terus cuma cara kita nak jimatkan contohnya kurangkan buat baju, door gift atau cabutan nombor bertuah. Majlis penting perlu kita teruskan namun lakukan dalam skala dan kaedah terancang,” jelasnya.