ADOBE baru-baru ini melancarkan Firefly AI Assistant, sebuah ejen kecerdasan buatan (AI) baharu yang berupaya mengautomasikan aliran kerja kreatif kompleks merentasi pelbagai aplikasi dalam ekosistem Creative Cloud, lapor Amanz.
Menerusi pembantu digital itu, pengguna hanya perlu memberikan arahan berbentuk teks atau suara, manakala sistem akan menyelaraskan tugasan merentasi aplikasi seperti Photoshop, Premiere Pro, Illustrator, Lightroom, Express serta Firefly tanpa perlu peralihan manual antara perisian.
Advertisement
Antara keupayaan utama Firefly AI Assistant ialah menyunting pelbagai imej secara serentak, menjana pengimejan produk berasaskan identiti jenama, serta menyesuaikan kandungan visual kepada pelbagai saiz dan format mengikut keperluan platform media sosial yang berbeza.
Pendekatan itu membolehkan pengguna dengan tahap kemahiran teknikal minimum memanfaatkan perisian Adobe untuk menghasilkan kandungan berkualiti profesional dengan lebih cepat dan konsisten.
Sebelum ini, teknologi berkenaan hanya diperlihatkan sebagai prototaip di bawah nama Project Moonlight pada acara Adobe MAX.
Adobe mengesahkan Firefly AI Assistant akan ditawarkan kepada pengguna menerusi versi beta terbuka dalam beberapa minggu akan datang.
Pelancaran tersebut menandakan peralihan penting daripada aliran kerja kreatif berasaskan input manual sepenuhnya kepada penggunaan automasi pintar, sekali gus dijangka merapatkan jurang antara idea dan penghasilan kandungan digital di peringkat global.