MALAYSIA
Majlis Benih Negara bakal dilancar, tangani isu monopoli - Mohamad Sabu

Mohamad memeriksa varieti padi baharu Clearfield MR CL3 dan MR CL4 pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi tersebut, di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd, FELCRA Seberang Perak, hari ini. - Gambar Bernama
PASIR SALAK: Majlis Benih Negara yang kini di peringkat penelitian akhir akan dilancarkan tidak lama lagi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata badan penyelaras itu merupakan institusi penting bagi memastikan kawal selia industri benih negara supaya tidak dimonopoli oleh syarikat atau negara tertentu.
"Biarlah benih ini diuruskan dengan cara yang tertib dan kita ada satu lembaga benih negara untuk mengawal apa sahaja benih bersifat tumbuhan atau ternakan di Malaysia ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd Seberang Perak di sini hari ini.Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Azman Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.
Sementara itu, Mohamad berkata antara fungsi utama majlis berkenaan ialah mewujudkan sistem repositori atau pusat penyimpanan rasmi bagi semua jenis benih pertanian dan ternakan tempatan.
"Pusat benih padi akan menjadi repositori semua jenis benih yang kita ada dalam negara dan kalau ada apa-apa yang berlaku, kita boleh gunakan repositori untuk menghasilkan benih-benih pada masa depan," katanya.
Pada Jun lepas, KPKM dalam satu mesyuarat telah memutuskan MARDI diberikan mandat sebagai peneraju Hab Benih Negara, selain menubuhkan majlis penasihat yang dibarisi pelbagai pakar bagi membangunkan badan penyelarasan berkenaan.
Malaysia kini masih bergantung hampir sepenuhnya pada benih import, termasuk 90 peratus benih sayur dan benih tembikai bernilai RM2.7 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami