Majlis Bertindak NGO Malaysia mahu bekerjasama dengan kerajaan dalam pelbagai aspek bagi meredakan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengerusinya, Mohd Ridzuan Abdullah menegaskan ia bukan sahaja berperanan dalam memberi saluran maklumat PATI, malah berkeupayaan bersama pihak berkuasa dalam operasi usaha membanteras termasuk di bandar-bandar besar.

"Pelan gabungan ini yang disatukan dalam Majlis Bertindak NGO Malaysia mampu beroleh kejayaan di atas kerjasama bagi melaksanakan setiap agenda dan isu dalam negara yang melibatkan kemanusiaan serta politik melibatkan negara-negara ketiga yang menjadi sumber tenaga kerja rakyatnya yang berhijrah.

"Pelbagai kerangka dan program serta cadangan akan dan cuba diajukan kepada pihak berkenaan khususnya kerajaan.

"Berdasarkan kepada undang-undang, kebanjiran PATI telah banyak menimbulkan kegusaran semua pihak," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Kata Mohd Ridzuan lagi, perkampungan PATI menimbulkan ancaman yang boleh merosakkan ekonomi negara, budaya kerja, sosial, serta keselamatan.

Oleh itu, katanya, satu task force perlu diwujudkan segera untuk membendung isu berkenaan.

"Walaupun pertumbuhan ekonomi negara lembab dan keupayaan banyak syarikat yang mempunyai 65 sehingga 70 peratus PATI tergugat akibat operasi banteras PATI, ia bukan sebab untuk membiarkan semakin banyak PATI di dalam negara.

"Status pekerja sah dan tidak sah hanya beberapa peratus sahaja dalam lingkungan 30 sehingga 40 peratus dari jumlah rakyat namun ia sudah cukup membazirkan ekonomi dan kewangan negara yang digunakan untuk menjaga, memelihara dan menampung segala kos PATI.

"Kami berharap dapat bersama membantu menyelesaikan kemelut ini selain sedia ke lapangan melaksanakan tugas, melontarkan idea serta serta menambah nilai kepada rakyat dalam isu PATI," tegasnya.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia tahun lalu, jumlah pekerja asing yang bekerja di negara ini secara sah adalah 1.73 juta orang, majoriti dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan tahun lalu menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini tahun lalu ialah sekitar 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta penduduk di Malaysia.