BUKIT MERTAJAM: Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang akan diaktifkan semula dengan bekas Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Khalid Ramli dilantik sebagai pengerusi baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkenaan dibuat menerusi mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang pertama tahun ini yang dipengerusikannya, sebagai tindakan memperkasa sosioekonomi dan modal insan Bumiputera MADANI di Pulau Pinang.

"Saya mahu supaya beberapa projek, peluang perniagaan, peluang perumahan di peringkat bawah ini, diberi keutamaan dan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk memesatkan pembangunan kaum Melayu Pulau Pinang.

Tapi seperti mana saya tekankan ia mesti selaras dengan keutamaan kerajaan negeri, supaya beberapa projek itu kalau kita kata untuk B40 maka ia mesti beri peluang kepada masyarakat Melayu, Cina dan India supaya kerangka program kita itu menggunakan pendekatan Kerajaan MADANI," katanya kepada wartawan selepas mesyuarat itu di sini hari ini.

Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang ialah platform untuk ahli mesyuarat mempertimbangkan cadangan-cadangan pelaksanaan program dan projek khusus kepada Bumiputera di negeri ini bagi meningkatkan dan menambah baik tahap pencapaian masyarakat Bumiputera Pulau Pinang, terutamanya dalam aspek sosioekonomi.

Sementara itu Anwar dalam kenyataannya berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan kepakaran dan pengalaman Khalid yang telah berkhidmat selama lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam, antaranya, sebagai Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang.

Anwar sendiri pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang dari tahun 1987 hingga tahun 1998.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan hasrat untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera di Pulau Pinang dapat dicapai serta memacu pembangunan tanah wakaf, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta secara dana pinjaman mudah.

"Bagi permulaan, dana ini akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh, Pulau Pinang," katanya.

Bagi melahirkan lebih ramai modal insan Bumiputera MADANI yang mahir dalam pelbagai bidang teknikal, Anwar berkata Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta untuk membolehkan 1,000 pelajar tahfiz mendapat latihan kemahiran dan pensijilan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Katanya program itu berupaya melahirkan anak-anak Bumiputera Islam yang holistik serta lengkap dengan ilmu pengetahuan agama dan kemahiran teknikal.

"Pulau Pinang mempunyai banyak maahad tahfiz dan kita telah berbincang dengan pengusaha-pengusaha ini kerana ada keperluan untuk pelajar tahfiz diberi latihan pendedahan yang lain supaya peluang pekerjaan mereka tidak terbantut.

Sudah ada persetujuan untuk menggunakan sebahagian perbelanjaan maahad tahfiz ini untuk memberi mereka kursus kemahiran TVET, selain hafalan Al-Quran," katanya.

Anwar berkata, dengan peruntukan RM10 juta tersebut, pengusaha tahfiz boleh merangka program bersama syarikat swasta untuk memberi latihan TVET kepada pelajar tahfiz bagi menjamin peluang pekerjaan terbaik untuk mereka.

-- BERNAMA