Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersedia untuk menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlarutan hingga Disember ini.

Menurut Yang DiPertua MPK, Datuk Mohamed Yasin Bidin, Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) telah ditubuhkan dan akan beroperasi 24 jam untuk bertindak pada bila bila masa.

“Kita tugaskan 24 orang anggota yang bekerja dalam tiga syif setiap hari untuk tujuan ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat MPK di sini hari ini.

Menurutnya, pemantauan dibantu dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 76 lokasi kebanyakannya di kawasan bandar dan pekan.

Selain itu, sistem perparitan sekitar daerah tersebut terutamanya di lokasi-lokasi berisiko juga sudah menjalani kerja-kerja pembersihan yang melibatkan dua fasa.

“Keadaan ban di Kampung Tok Muda telah diperbaiki, dan maknanya kita yakin kalau dalam keadaan biasa, ia boleh bertahan.

“Saya rasa ia juga sudah ditambak dan ditambah baik oleh Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya lagi.

Kawasan berisiko dikenal pasti adalah Pengkalan Tok Muda, Batu 4 Jalan Kapar, Pelabuhan Klang, Jalan Pandamaran-Banting dan Taman Selat Damai.

Enam dewan bawah kelolaan MPK juga sedia digunakan sebagai pusat penempatan sementara iaitu di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, dewan serbaguna Pandamaran Jaya, Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, Teluk Gadong dan Kampung Kuantan.

Orang ramai boleh hubungi bilik gerakan Skuad Pantas di talian 03-33748845.