"Mak maafkan adik... Sejahat mana pun, dia tetap anak saya."

Itu kata-kata yang diluahkan Mea'ah Abd Majid, ibu yang menjadi mangsa dipukul dengan besi pemotong rumput oleh anaknya yang di bawah pengaruh dadah pada Khamis lalu.

Anaknya, Mohd Rafi Ab Aziz, 25 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan semalam, merayu kepada hakim untuk berjumpa dengan ibunya dan memohon maaf kepada wanita itu setelah mengaku bersalah.

Suasana bertambah sayu apabila Mea’ah turut menyatakan bahawa kasih sayang seorang ibu kepada anaknya tidak ternilai.

Mea'ah sentiasa menyayangi anaknya walaupun apa yang telah berlaku.

“Dia masuk lokap mana? Dia sekarang ini dipenjarakan tujuh tahun dan tiga sebatan. Saya kesian kepadanya, badan dia kurus tidak ada isi macam arwah bapanya.

“Masa dia dijatuhkan hukuman itu dia beritahu hakim bahawa dia mahu jumpa saya untuk minta maaf.

“Sebagai ibu saya maafkan adik… ibu mana yang tidak sayangkan anak sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Sagu Tiga, di sini.

Mea'ah sentiasa menyayangi anaknya walaupun apa yang telah berlaku.

Menceritakan lebih lanjut, Mea’ah berkata, ketika kejadian beliau sedang berehat menonton televisyen dan secara tiba-tiba anak bongsunya itu datang meminta wang.

Katanya, walaupun telah diberi sedikit wang, anaknya berkeras kerana menganggap tidak mencukupi hingga akhirnya mengamuk dan memukul wanita itu menggunakan batang besi mesin pemotong rumput.

“Dia seorang anak yang baik dan mendengar kata tetapi mungkin akibat pengaruh dadah dia berkelakukan demikian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) , Felda Bukit Sagu, Maznan Pazil berkata, dia menerima aduan mengenai kejadian tersebut daripada jiran Mea'ah dan segera menghubungi ambulans kerana melihat keadaan Mea'ah yang berlumuran darah.

"Ambulans datang dia pun ambillah mangsa ni bawak pegi hospital. saya pun follow kat belakang. Bila sampai hospital tengok dia dah dapat rawatan saya terus ke balai polis kendia buat laporan,” katanya.