Keputusan Konsortium Transnasional Berhad menghentikan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner di 19 laluan di Kelantan bermula semalam nyata memberi impak kepada pengguna.

Dua warga emas yang ditemui melahirkan rasa terkejut dengan pemberhentian operasi tersebut dan terpaksa mencari alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

Setiap hari Isnin sejak 10 tahun lalu, Hamidah Mat Yusof berulang alik dari Kota Bharu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan berkala.

Hari ini, wanita berusia 63 tahun itu tetap meneruskan rutinnya tanpa mengetahui bas yang sering dinaikinya sudah tidak beroperasi seperti biasa.

"Beratlah macam ini. Tiada bas, macam mana makcik nak pergi ke HUSM?" soal Hamidah semasa ditemui di stesen bas utama di sini, hari ini.

Dua warga emas, Rohani Ibrahim (kiri) dan Hamidah Mat Yusof (kanan) yang ditemui melahirkan rasa terkejut dengan pemberhentian operasi tersebut. - Foto Astro AWANI

Turut senasib dengan Hamidah ialah Rohani Ibrahim, 54, yang mengambil keputusan untuk menyewa teksi dengan kos RM40 untuk pergi ke HUSM.

Ibu kepada seorang anak kelainan upaya (OKU) itu mengakui perkhidmatan bas Cityliner itu banyak meringankan beban kerana hanya perlu membayar RM4 untuk ke HUSM.

"Susahlah, sebab kita kena sewa teksi sapu.

"Saya susah hati kerana kalau teksi sapu saya rasa kurang selamat, sebab itu saya suka naik bas," kata Rohani.

Sementara itu, Pengurus Besar Cityliner, Mohd Zaki Awang ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan hasil perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) hari ini memutuskan perkhidmatan Cityliner di semua 19 laluan akan disambung semula mulai esok.

Katanya, pihak SPAD bersetuju untuk mendapatkan bantuan dan dana bagi menampung kos operasi bas Cityliner di Kelantan.

Konsortium Transnasional Berhad dalam kenyataan medianya semalam memaklumkan pemberhentian itu disebabkan syarikat tidak mampu menanggung kos operasi kerana tidak lagi menerima sokongan dana daripada kerajaan.

Laluan yang ditutup ialah Machang-Tanah Merah, Machang-Pasir Puteh, Kota Baharu-Tok Bali-Kampung Raja, Kota Baharu-Cabang Empat-Tumpat, Kota Baharu-Bunut Susu-Pasir Mas, Tumpat-Palekbang-Kota Baharu, Kuala Krai-Dabong, Kota Baharu-Pasir Puteh-Jelor dan Jeli-Kuala Balah-Dabong.

Laluan lain ialah Kota Baharu-Kemubu-Machang, Pasir Mas-Repek-Rantau Panjang, Kota Baharu-Kemumin-Sabak, Kota Baharu-Pantai Cahaya Bulan, Kota Baharu-Tiong-Bachok, Kota Baharu-Bukit Marak-Bachok, Kota Baharu-Bachok-Pengkalan Baharu, Kota Baharu-Bandar 61A dan 61B, Rantau Panjang-Panglima Bayu dan Pasir Puteh-Kuala Besut-Jerteh.