Skip to main content

Malaysia

Maklumat kenderaan pacuan empat roda dinaiki Loe diserah kepada polis Nepal - Isteri

Mohd Saiful Munir Mohd Isa
Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa (foto), atau lebih mesra dipanggil Loe, dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di negara berkenaan. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) yang dilaporkan hilang di Nepal, telah menyerahkan segala maklumat dan petunjuk yang beliau ada bagi menjejaki suaminya kepada pihak berkuasa Nepal dalam usaha membantu operasi pencarian yang sedang berjalan.

Hani Othman yang kini berada di Nepal mengesahkan bahawa sebarang maklumat berkaitan, termasuk penampakan dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) berwarna putih yang dipercayai dinaiki suami bersama-sama kumpulannya sebelum kejadian tragis itu, telah disalurkan terus kepada pihak Polis Nepal.

Suami Hani, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 40-an, atau lebih mesra dipanggil Loe, dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di negara berkenaan.

Turut dilaporkan hilang Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Mohd Sani Harul, yang dalam misi pendakian sama.

Hani berkata pihak berkuasa tempatan kini sedang giat menjalankan siasatan dan operasi pencarian, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pelbagai pihak.

“Semua maklumat berkenaan perlu diserahkan kepada pihak polis Nepal dan mereka sedang membantu dalam siasatan. Sebarang penemuan baharu akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

“Sekiranya pihak keluarga mangsa mempunyai sebarang maklumat tambahan, kami akan terus menyalurkannya kepada pihak kedutaan dan polis Nepal untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran di media sosialnya mengenai penampakan dua kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai dinaiki oleh suaminya dan pasukan, sebelum dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh itu.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, bagi memantau perkembangan terkini operasi pencarian tersebut dari semasa ke semasa.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.

Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,220 orang manakala 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement