Malam ini bakal menjadi penentu siapa lebih hebat apabila pendahulu Pahang menerima kunjungan juara Liga Super musim lepas Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Makmur.

Pahang ketika ini mendahului Liga Super dengan 26 mata manakala skuad Harimau Selatan menduduki tangga kedua dengan dua mata di belakang.

Penyokong kedua pasukan pasti akan disajikan dengan aksi bola sepak yang cukup sengit, apatah lagi dengan kedua-dua pasukan ini telah mewujudkan persaingan sejak beberapa musim ini.

Walaupun Pahang tidak dibarisi nama besar seperti JDT namun mereka mempunyai persefahaman yang cukup tinggi kerana telah pun bersama untuk beberapa musim.

Pemain seperti Dickson Nwakaeme, Matias Conti, Hafiz Kamal dan Gopi sememangnya mempunyai skil tersendiri untuk membantu memburu gol.

Walaubagaimanapun, pemain sayap D. Saarvindran tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan jari kaki kanan ketika berdepan PDRM.

JDT pula mempunyai kualiti pemain yang hebat tatakala dibarisi pemain kebangsaan dan import ternama seperti Luciano Figueroa yang sememangnya menjadi ayam tambatan untuk meledak gol.

Menariknya kedua pasukan ini turut beraksi di saingan Piala AFC dan keduanya layak ke peringkat suku akhir.

Apa yang pasti, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan akan kekal terajui liga dan akan menjarakkan diri lima mata di depan JDT sekiranya menang namun hilang takhta selaku pendahulu jika JDT mencuri tiga mata di Kuantan.

Zainal bagaimanapun kekal yakin Pahang merupakan pasukan pilihan setiap kali beraksi di laman sendiri.