Skip to main content

Malaysia

Malam penghargaan buat tokoh sastera, Adibah Amin pada 12 April

PUTRAJAYA, 3 OKT -- Khalidah Adibah Amin bersama Anugerah Tokoh Terjemahan Negara 2012 yang diterimanya daripada Timbalan Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis penyampaian Anugerah Terjemahan Negara 2012 di sini hari ini. Adibah menerima anugerah itu di atas sumbangannya membangunkan psikologi pemikiran bangsa melalui medium terjemahan bermula dengan "No Harvest But Thorn" iaitu karya asal "Ranjau Sepanjang Jalan" hasil tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad pada tahun 1972. --fotoBERNAMA
Pada 2024, Adibah Amin (gambar) dianugerahkan gelaran Wartawan Negara sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada bidang kewartawanan - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Rakan dan ahli keluarga kepada tokoh sastera serta wartawan negara, Adibah Amin akan menganjurkan malam penghargaan bagi meraikan sumbangan beliau kepada dunia kewartawanan dan kesusasteraan negara pada 12 April ini.

Majlis berkenaan akan berlangsung di The Majestic Hotel Kuala Lumpur dan turut menampilkan pelancaran buku As I Was Passing: Legacy Edition yang menghimpunkan refleksi tulisan beliau mengenai kehidupan, masyarakat dan nilai kemanusiaan.

Advertisement

Menurut penganjur, acara itu bertujuan menghargai legasi karya Adibah serta menggalakkan sokongan masyarakat bagi memastikan hasil penulisan beliau terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

Adibah yang kini berusia 90 tahun, dilaporkan berdepan cabaran kesihatan dan memerlukan sokongan kewangan berterusan bagi tujuan penjagaan.

Majlis tersebut akan dikendalikan oleh personaliti penyiaran Yasmin Yusuff, dengan kerjasama rakan lokasi YTL Hotels.

Sementara itu, wartawan dan bekas editor di New Straits Times, Aishah Ali berkata karya Adibah memberi inspirasi kepada ramai pengamal media.

"Suara beliau mampu membuatkan saya ketawa, menangis dan berfikir, dan yang paling penting mengajar saya tentang kuasa kata-kata," katanya dalam kenyataan sama.

Majlis itu akan menampilkan bacaan karya, perkongsian pengalaman serta persembahan muzik, manakala hasil kutipan daripada acara dan sumbangan buku akan disalurkan bagi menampung kos penjagaan beliau serta mewujudkan anugerah sastera pada masa depan.

Sepanjang kerjayanya, Adibah pernah berkhidmat sebagai editor di The Star, New Straits Times dan Berita Harian, selain dikenali sebagai kolumnis, penterjemah, pendidik serta novelis.

Pada 2024, beliau turut dianugerahkan gelaran Wartawan Negara sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada bidang kewartawanan.

 

Must Watch Video