MALAYSIA
Malaysia ada lebih 4,100 pusat pengecasan EV seluruh negara - Fadillah

Di bawah tunjang mobiliti hijau, Malaysia sedang giat memperluas ekosistem EV daripada infrastruktur pengecasan di seluruh negara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki sekurang-kurangnya 4,100 pusat pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara bagi memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata usaha itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan pelepasan untuk pengangkutan dalam jangka panjang, malah meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi mobiliti hijau dan mampan.
"Di bawah tunjang mobiliti hijau, Malaysia sedang giat memperluas ekosistem EV daripada infrastruktur pengecasan di seluruh negara dan elektrifikasi armada awam hinggalah kepada dasar yang menggalakkan pembuatan EV tempatan dan rantaian bekalan komponennya," katanya dalam ucapan pembukaan di Persidangan Antarabangsa Mengenai Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (ICChEE) 2025.
Berpandukan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia sedang merangka laluan berfasa dan strategik ke arah mencapai Pelepasan Sifar Bersih menjelang 2050.Enam tunjang utama yang menyokong pelan hala tuju itu ialah kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, biotenaga, hidrogen, mobiliti hijau dan pemerangkapan karbon.
Bagi memastikan elektrik yang membekalkan kuasa kepada EV dan jentera lain datang daripada sumber-sumber tenaga hijau, Fadillah berkata Malaysia telah menetapkan sasaran yang bercita-cita tinggi -- meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga kepada 70 peratus menjelang 2050 sambil menggandakan sasaran penjimatan kecekapan tenaga negara kepada 22 peratus.
"Langkah-langkah praktikal sudah pun digerakkan: pengubahsuaian bangunan berskala besar, piawaian kecekapan yang lebih ketat bagi peralatan dan penggunaan biodiesel yang diperluas daripada B10 kepada B20 dalam sektor pengangkutan.
"Ini bukanlah idea abstrak, sebaliknya langkah nyata yang mewujudkan kemajuan yang dapat dilihat secara langsung di lapangan," katanya.
Fadillah berkata hidrogen menawarkan sempadan baharu peluang, dengan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) membayangkan Malaysia sebagai hab hidrogen bersih di Asia-Pasifik menjelang pertengahan abad.
"Dengan potensi untuk menjana hasil lebih RM400 bilion, mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 15 peratus menjelang 2050, hidrogen mampu merubah landskap tenaga negara kita.
"Disokong oleh Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang bakal diperkenalkan dan undang-undang Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon, visi ini sudah mula diterjemahkan kepada tindakan.
"Projek-projek perintis seperti pembakaran bersama ammonia di kemudahan Tenaga Nasional Bhd, yang mencapai percampuran sehingga 60 peratus, membuktikan bahan api lebih bersih boleh dikembangkan skala penggunaannya dan selamat," katanya.
Beliau menambah acara seperti ICChEE 2025 amat penting dalam menterjemahkan visi itu kepada realiti.
"Dengan memupuk kerjasama rentas sektor, merangka dasar yang berpandangan jauh ke hadapan dan menggalakkan inovasi, platform ini bukan sahaja mengukuhkan daya tahan Malaysia tetapi juga sumbangan kita kepada perjalanan sifar bersih global," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami