Skip to main content

Dunia

AS lancar serangan udara baharu sasar tapak ketenteraan di selatan Iran - Laporan

Sumber: REUTERS
Serangan AS mengenai sebuah lokasi yang dipercayai menimbulkan ancaman kepada tentera AS serta laluan perkapalan komersial di Selat Hormuz. - REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara baharu yang menyasarkan sebuah tapak ketenteraan di selatan Iran, lapor Anadolu Ajansi pada Rabu, memetik laporan media AS yang memetik seorang pegawai Amerika.

Serangan itu mengenai sebuah lokasi yang dipercayai menimbulkan ancaman kepada tentera AS serta laluan perkapalan komersial di Selat Hormuz, kata pegawai itu kepada ABC News.

Terdahulu, ketika mengulas perkembangan rundingan bagi menamatkan serangan terhadap Iran, Presiden AS Donald Trump berkata beliau “tidak berpuas hati dengannya, tetapi kami akan mencapainya. Sama ada itu, atau kami mungkin terpaksa meneruskan tindakan sehingga objektif itu dicapai.”

Ketegangan serantau memuncak pada 28 Feb lepas apabila AS dan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, mendorong Tehran bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan dron dan peluru berpandu yang mengenai sasaran di seluruh rantau itu, selain menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.

Trump kemudiannya melanjutkan gencatan senjata itu tanpa had masa sambil mengekalkan sekatan terhadap kapal yang menuju ke atau keluar dari pelabuhan Iran melalui laluan air strategik itu, selain secara berkala menyatakan bahawa perjanjian damai hampir dicapai.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement