Malaysia Airports laksana inisiatif MyAirportCARES bersama Sekolah Angkat MADANI

Mohd Izani membantu salah seorang murid mencuba baju sekolah pada program MYAirportCARES Kembali Ke Sekolah bersama Malaysia Airports di sebuah pasaraya. - Gambar Bernama
TAWAU: Malaysia Airports meneruskan inisiatif tanggungjawab korporat (CR), MYAirportCARES menerusi penglibatan dalam program Sekolah Angkat MADANI tahun ini.
Ringkasan AI
- Malaysia Airports meneruskan inisiatif tanggungjawab korporat MYAirportCARES dengan program Sekolah Angkat MADANI.
- Program Ceria Kembali ke Sekolah dan Lawatan Pendidikan Ke Lapangan Terbang memberi manfaat kepada ribuan murid di seluruh negara.
- Program tersebut membantu murid dari keluarga berpendapatan rendah dengan bantuan pembelian kelengkapan sekolah dan pendedahan kepada dunia pengendalian lapangan terbang.
Beliau berkata MYAirportCARES adalah cara Malaysia Airports menyumbang kepada masa hadapan generasi muda komuniti di sekitar lapangan terbang bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik, dengan bantuan asas sekolah sehingga pendedahan kepada dunia pengendalian lapangan terbang.
Sementara itu, beliau berkata Program Ceria Kembali ke Sekolah yang bermula sejak 2018 memberi manfaat kepada lebih 4,500 murid di seluruh negara, manakala lebih 5,500 pelajar menerima manfaat daripada Program Lawatan Pendidikan ke Lapangan Terbang sejak 2023.
Pada 9 Dis, Program Ceria Kembali Ke Sekolah telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Apas di sini yang menyaksikan 150 pelajar dibawa membeli kelengkapan asas sebagai persiapan awal persekolahan bagi sesi 2026.
"Setiap murid daripada golongan berpendapatan rendah menerima bantuan RM400 untuk membeli kelengkapan termasuk baju sekolah, seluar sukan, kasut dan beg sekolah, manakala keseluruhan 410 pelajar menerima bantuan pembelian buku dan pakaian sukan sekolah," katanya.
Murid Tahun Enam SK Kuala Apas, Munira Muriyadi berkata bantuan pembelian kelengkapan sekolah daripada Malaysia Airports itu meringankan beban ibunya menanggung kos persiapan persekolahan.
"Ibu berusaha keras mencari wang untuk keperluan makanan dan persekolahan. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Malaysia Airports sebab sudi bantu untuk beli barangan sekolah," katanya.
Dalam pada itu, Guru Bahasa Melayu yang juga Penyelaras Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) SK Kuala Apas, Suhaimi Taif berkata 150 murid yang terpilih untuk program MYAirportCARES itu terdiri daripada latar belakang keluarga berpendapatan rendah termasuk nelayan dan petani.
"Sekolah kami terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI di bawah inisiatif MYAirportCARES dan ini merupakan program pertama bantuan murid dilibatkan dalam skala besar. Jutaan terima kasih kepada Malaysia Airports dan harapan kami agar program ini diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata antara kriteria pemilihan murid yang menerima bantuan itu ialah keluarga pelajar yang tidak memiliki pendapatan tetap, bekerja sendiri atau nelayan termasuk berdasarkan kehidupan murid yang serba kekurangan.
Seiring dengan usaha memperluas akses dan pendedahan pendidikan kepada golongan ini, Program Lawatan Pendidikan ke Lapangan Terbang pula memberi peluang kepada pelajar sekolah melawat lapangan terbang, memahami operasi harian serta potensi kerjaya dalam sektor pengendalian lapangan terbang.
Pada 3 Dis lepas, sebanyak 30 murid dan 16 guru SK Lubok Nibong, Marudi, Sarawak menyertai Lawatan Pendidikan ke Lapangan Terbang Miri yang merangkumi sesi bersama pasukan bomba, keselamatan penerbangan dan operasi terminal termasuk lawatan fasiliti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


