Malaysia akan terus membuat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi berhubung kemasukan jemaah Haji dari Malaysia ke Mekah.

Tindakan ini menyusul pengurangan kuota 20 peratus kemasukan jemaah Haji dari Malaysia.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau yakin perkara itu dapat di selesaikan secara baik memandangkan Malaysia mempunyai reputasi dan rekod yang baik sepanjang proses pengurusan jemaah Haji.

“Kerjasama rakyat Malaysia yg berhemah, berdisiplin tinggi apabila melaksanakan ibadah dan Alhamdulillah kerajaan Saudi mengiktiraf bahawa jemaah kita antara yg baik,” katanya.

Abdul Azeez berkata, sebelum ini jumlah jemaah Haji Malaysia setiap tahun adalah sebanyak 28 ribu dan ia dijangka berkurangan selepas pengurangan 20 peratus kuota Haji dibuat kelak.

Abdul Azeez berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan Arab Saudi yang telah memutuskan pengurangan 20 peratus kuota Haji bagi musim 1434h dan peraturan itu melibatkan semua negara di dunia termasuk Malaysia.

Sementara itu, Azeez juga menasihatkan jemaah Haji yang mempunyai sakit kronik supaya menangguhkan dahulu perjalanan ke Mekah atas faktor kesihatan dan keselamatan jemaah memandangkan pihak Arab Saudi sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan dan pembesaran prasarana di Masjidil al-Haram, Makkah.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan zakat kepada golongan asnaf yang dipilih dari empat kawasan parlimen di Pulau Pinang menerusi program projek ehsan sempena Ramadhan.

Zakat berjumlah RM73 ribu diagihkan kepada 146 penerima masing-masing menerima rm500 seorang.
Tabung haji mensasarkan agihan zakat berjumlah RM1.55 juta kepada lebih 3,000 orang golongan asnaf di seluruh negara.