MALAYSIA
Malaysia anjur Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ASEAN 2025

COSH 2025 dan NISS 2025 menawarkan peluang pembelajaran profesional yang komprehensif dengan pengiktirafan daripada pelbagai badan profesional dan pengawal selia. - Gambar fail/eyeonasia
KUALA LUMPUR: Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ASEAN 2025 bulan depan, yang bakal menghimpunkan kira-kira 3,000 pengamal dan lebih 70 pakar bidang itu dari negara ASEAN serta penceramah antarabangsa.
Dianjurkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), sidang kemuncak itu dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan penganjurannya bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
Pengerusi NIOSH Chong Chieng Jen berkata penganjuran sidang kemuncak itu membuka lembaran baharu kepada kerjasama, inovasi dan pembentukan dasar serantau yang berpaksikan kesejahteraan pekerja.
Beliau berkata pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Malaysia seharusnya mengambil peluang menyertai pelbagai program yang disediakan termasuk Persidangan dan Pameran mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan(COSH 2025) dan Seminar Piawaian Antarabangsa NIOSHCert 2025 (NISS 2025)."COSH 2025 yang dulunya program nasional kini telah dinaik taraf sebagai platform antarabangsa ASEAN. Ia bukan sekadar persidangan tetapi kini perhimpunan terbesar KKP di Malaysia dengan sijil penyertaan kali ini akan turut memaparkan logo ASEAN," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, NIOSH memaklumkan COSH 2025 dijangka menarik lebih 2,000 peserta tempatan dan antarabangsa, dengan penyertaan penceramah dari badan dan institusi ternama seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), SESRIC Turkiye, University of South Australia serta pakar dari Jepun, Australia, Thailand, Indonesia dan negara ASEAN.
Topik utama yang bakal dibincangkan termasuk pengurusan risiko psikososial, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), pelaksanaan strategi ESG dalam persekitaran kerja dan masa depan pekerjaan yang lebih inklusif serta sihat dari segi mental.
Selain COSH 2025 dan NISS 2025, turut dijadualkan berlangsung sepanjang sidang itu ialah Mesyuarat Eksekutif Institut Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan Asia (AOSHRI), menghimpunkan institusi penyelidikan KKP dari 14 negara Asia.
COSH 2025 dan NISS 2025 menawarkan peluang pembelajaran profesional yang komprehensif dengan pengiktirafan daripada pelbagai badan profesional dan pengawal selia.
"Orang ramai dijemput menghadiri upacara pembukaan rasmi serta melawat pameran KKP terbesar di rantau ini secara percuma yang melibatkan lebih 60 syarikat industri dan agensi kerajaan termasuk daripada Kementerian Sumber Manusia," menurut kenyataan itu.
Pendaftaran COSH 2025 boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman sesawang https://form.evenesis.com/NIOSHPAID/COSH manakala pendaftaran NISS 2025 pada pautan https://form.evenesis.com/NIOSHPAID/NISS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami