KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia sepakat untuk membawa hubungan pertahanan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, beralih daripada kerangka kerjasama kepada kolaborasi yang lebih erat, praktikal dan strategik.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ketetapan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-Australia (HLC) keenam yang dipengerusikannya bersama dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles di Geelong, Australia, hari ini.
Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat itu, Jawatankuasa Perancangan Strategik (SPC) akan menjadi mekanisme penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dipersetujui mempunyai hala tuju dan tindakan susulan yang jelas.
“Hal ini termasuk inisiatif dalam bidang teknologi serta pembangunan keupayaan pertahanan (kedua-dua negara).
“Inilah hala tuju hubungan pertahanan Malaysia–Australia, bergerak daripada kerjasama kepada kolaborasi dan seterusnya membina kebersamaan yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran keselamatan masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Terdahulu, Mohamed Khaled dan Marles turut mengadakan pertemuan empat mata sebelum mempengerusikan mesyuarat HLC berkenaan.
Mesyuarat HLC keenam itu merupakan kemuncak lawatan kerja tiga hari Mohamed Khaled ke Australia bagi menilai kemajuan kerjasama pertahanan serta menentukan hala tuju hubungan kedua-dua negara.
Lawatan itu bagi menyusuli mesyuarat kelima yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2025, dengan pertemuan kali ini turut memberikan tumpuan pada penerokaan peluang baharu dalam kerjasama pertahanan membabitkan Malaysia dan Australia.
-- BERNAMA