Kegagalan untuk melindungi kawasan tadahan air bakal menyaksikan negara berdepan dengan masalah krisis air yang serius.

Pensyarah Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Awang Noor Abd Ghani berkata sehubungan itu perlu ada rancangan pengurusan tanah yang lebih komprehensif dan mapan bagi melindungi kawasan sensitif itu daripada terus diteroka.

Mengambil iktibar daripada keadaan Sungai Tembeling yang semakin kering, beliau mengesyorkan langkah pemetaan kawasan tadahan air di seluruh negara.

"Kita perlu mengadakan rancangan pengurusan tanah yang komprehensif bagi membuat pemetaan kawasan-kawasan yang sesuai untuk dijadikan kawasan tadahan, yang mana patut dijadikan kawasan untuk tujuan pembalakan, pertanian dan kegunaan lain.

"Ini untuk mengelak kesan kepada sungai itu sendiri dan mungkin di kawasan hilir sungai, kerana kita dapati jika berlaku aktiviti pembalakan, hakisan dan pemendapan tanah akan berlaku pada sungai seperti mana berlaku di Sungai Tembeling," katanya kepada Astro AWANI.

Apa yang nyata, pemuliharaan sumber di kawasan tadahan air adalah lebih menjimatkan daripada kerja memulihkan semula keadaan sungai yang hampir kontang.

"Untuk menggali sungai itu memang memerlukan kos yang tinggi dan ini saya rasa tidak mungkin boleh dilaksanakan. Jadi untuk masa depan, kita perlu rancangan komprehensif pembangunan tanah yang menyeluruh supaya dapat menentukan kawasan berisiko tinggi untuk dilindungi," katanya.


Ambil masa untuk pulih

Persoalannya kini, adakah keadaan Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dapat diselamatkan?

Menurut Prof Awang, untuk kualiti air sungai untuk pulih sepenuhnya, ia mungkin mengambil masa.

"Mengikut kajian, dalam tempoh enam tahun kualiti air akan pulih seperti biasa. Ia adalah berdasarkan kajian saintifik ahli oleh penyelidik hidrologi, dengan syarat tidak ada pembalakan yang berterusan di kawasan berkenaan," katanya.

Dengan kadar populasi penduduk yang semakin bertambah, ia sekali gus menyaksikan permintaan air juga meningkat.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua negeri melindungi kawasan tadahan air dan bukan mengecilkannya.

Sebelum ini, Astro AWANI menyiarkan siri laporan khas bertajuk "Kerakusan Manusia Musnahkan Sungai Tembeling" yang menyingkap keadaan Sungai Tembeling yang cetek berikutan dakwaan pembalakan tidak terkawal sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Turut terjejas adalah di hilir Sungai Tembeling iaitu Sungai Pahang.

BACA: Derita Ulu Tembeling: Sungai kering, pengangkutan utama lumpuh

BACA: Sungai Pahang cetek, pengusaha ikan sangkar terjejas

BACA: Penduduk Kampung Mat Daling bantah pembalakan di kawasan tadahan air