KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi untuk meningkatkan lagi eksport makanan ke Jepun khususnya, produk makanan halal, kata Naib Menteri Parlimen Jepun bagi Pertanian, Perhutanan dan Perikanan, Mitsuo Takahashi.

Katanya, Jepun juga akan meneroka pasaran untuk produk baharu seperti durian termasuk menyediakan inisiatif bagi menyokong pembinaan kapasiti petani seperti mengoptimumkan pembajaan dan meningkatkan pengeluaran.

"Syarikat swasta Jepun menyokong inisiatif penambahbaikan dalam pengeluaran pertanian melalui teknologi pintar," katanya kepada media selepas pelancaran Platform Eksport Makanan Jepun baru-baru ini.

Takahashi mendedahkan bahawa melalui Pelan Kerjasama Midori ASEAN-Jepun, yang diterima pakai semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN-Jepun pertama pada 4 Okt 2023, Jepun berhasrat untuk memupuk kerjasama dengan negara-negara ASEAN dengan mengguna pakai teknologi serta pengalaman Jepun dalam pertanian yang berdaya tahan dan mampan. .

"Aktiviti ini boleh dijalankan melalui perkongsian swasta dan awam," katanya.

Berdasarkan perangkaan kerajaan Jepun, Malaysia merupakan pengeksport makanan utama ke Jepun dengan eksport produk makanan berjumlah RM8.93 bilion atau 291 bilion yen pada 2023 yang merangkumi eksport produk makanan tani seperti penyediaan minuman, makanan diproses dan makanan laut.

Malaysia juga mengimport sejumlah besar daging lembu, tepung gandum, minyak ikan serta minuman beralkohol dari Jepun dengan import produk makanan mencecah RM583 juta atau 19 bilion yen pada 2023.

"Penurunan yen akan menjadikan produk Jepun lebih murah untuk rakyat Malaysia," katanya.

Takahashi memberitahu produk makanan Jepun untuk dieksport ke pasaran Malaysia, perlu mematuhi peraturan di Malaysia termasuk pensijilan halal.

Berhubung perubahan dalam nilai eksport sebelum dan selepas, pelepasan air terawat Sistem Pemprosesan Cecair Termaju (ALPS) dari Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi ke laut, beliau berkata nilai eksport produk perikanan semakin bertambah, walaupun nilai keseluruhan eksport pertanian produk telah menurun pada 2023 berbanding 2022.

Ia tidak bergantung atas sebab tertentu kerana terdapat pelbagai faktor, contohnya, kadar pertukaran, keseimbangan penawaran dan permintaan, kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden pada 2011 apabila loji itu dilanda tsunami, sehingga terpaksa melepaskan bahan radioaktif, selain tritium melalui sistem ALPS, yang mana, air tercemar dirawat dan ditulenkan.

Proses pelarutan tritium ke dalam air adalah mematuhi piawaian keselamatan, sebelum dilepaskan ke laut.

Tokyo Electric Power Company (TEPCO), pengendali loji di Fukushima dalam laman webnya menjelaskan bahawa pelepasan air rawatan ALPS ke laut dan aktiviti berkaitan oleh TEPCO, Pihak Berkuasa Peraturan Nuklear Jepun (NRA) dan kerajaan Jepun adalah selaras dengan standard keselamatan antarabangsa.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam Laporan Komprehensif mengenai Kajian Keselamatan Air Terawat ALPS agensi itu menjelaskan pelepasan air terawat ALPS akan memberi kesan radiologi tidak menjejaskan manusia dan alam sekitar.

Pelancaran Platform Eksport Makanan Jepun baru-baru ini, yang diterajui oleh kedutaan Jepun serta Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro), juga akan membantu meningkatkan eksport negara itu ke Malaysia, katanya.

Beliau berkata, Platform Eksport Makanan Jepun akan menyediakan maklumat mengenai pasaran Malaysia termasuk makanan halal dan saluran pengedaran bagi produk Jepun di Malaysia.

-- BERNAMA