Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar dengan tegas mengecam tuduhan Netanyahu pada 2 September terhadap Mesir dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, provokatif, tidak bertanggungjawab, dan tidak wajar.
"Malaysia menegaskan bahawa Mesir berhak menolak semua tuduhan yang dibuat oleh pihak Israel berhubung perkara ini," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu berkata tindakan rejim Zionis Israel ini adalah sebahagian daripada percubaan yang tidak masuk akal dan patut dikeji bagi tujuan melanjutkan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang kini telah diperluaskan oleh rejim Zionis ke beberapa bandar di Tebing Barat, mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan.
Sementara itu, Kementerian Luar mengulangi sokongan kuat Malaysia terhadap usaha Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat untuk mengantara gencatan senjata kekal berdasarkan cadangan gencatan senjata tiga fasa oleh Amerika Syarikat dan Resolusi 2735 (2024) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Jelas bahawa perjanjian gencatan senjata masih belum tercapai sehingga kini disebabkan oleh sikap keras kepala dan agresif rejim Zionis Israel yang sentiasa mengubah peraturannya.
Ini terbukti melalui kenyataan oleh Perdana Menteri Israel pada 2 September yang Malaysia mengutuk dengan tegas," katanya.
Pada Isnin, Netanyahu mendakwa Mesir membenarkan senjata diseludup ke Hamas melalui sempadannya.
Kementerian Luar Mesir berkata tuduhan Netanyahu itu adalah cubaan untuk menghalang usaha perantaraan bagi mencapai gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pertukaran tahanan.
Pada Rabu, Jordan, Qatar, Palestin dan Kuwait turut mengecam dakwaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Selasa bahawa senjata diseludup ke kumpulan pejuang Hamas melalui sempadan Mesir, lapor Agensi Anadolu.
Sementara itu, Kementerian Luar berkata Malaysia akan tetap teguh dalam komitmennya terhadap perjuangan Palestin dan meneruskan usahanya ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.
"Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara yang sehaluan untuk kemasukan Negara Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai anggota penuh," katanya.
--BERNAMA