KUALA LUMPUR: Malaysia dan China bertekad untuk terus memperkukuhkan hubungan baik yang sedia terjalin demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta kepentingan bersama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini, Anwar memaklumkan, beliau telah menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing bersama delegasinya semalam, serta mengadakan perbincangan semasa pertemuan tersebut.

Perbincangan itu adalah mengenai kerjasama dua hala terutamanya bagi menarik pelaburan dan memperkukuhkan hubungan perdagangan serta meningkatkan hubungan sesama rakyat. - BERNAMA