PUTRAJAYA: Tempoh setahun yang lepas merupakan tempoh yang cukup mencabar bagi kedua-dua negara Malaysia dan Singapura, apabila seluruh dunia dilanda pandemik COVID-19, kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Namun, beliau berkata, keakraban yang dipupuk antara Malaysia dan Singapura menyebabkan proses mengharungi tempoh kemuncak pandemik itu, lebih mudah, terutamanya dalam isu yang melibatkan rakyat kedua-dua negara berkenaan.

Beliau berkata, keakraban itu saling tak tumpah seperti hubungan mesra antara beliau dan rakan sejawatnya di Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Bukti kenyataan saya - tahun lepas apabila rakyat Malaysia dan Singapura terkandas di negara lain, kita saling bantu-membantu, tumpang pengangkutan dan sebagainya, untuk pastikan rakyat kita selamat pulang.

“Ketika Singapura perlu melaksanakan pemutus rantaian (Circuit Breaker), dan Malaysia dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat ramai rakyat kita yang mahu pulang dengan segera, dan perancangan untuk membawa sebahagian besar daripada mereka, dilakukan dalam masa semalaman sahaja,” katanya lagi.

BACA: Malaysia-Singapura perhalusi proses pengiktirafan sijil vaksinasi rakyat kedua-dua negara

BACA: Selepas RGL dan PCA, Malaysia dan Singapura bincang mengenai perjalanan ihsan

Dr Balakrishnan berkata, perancangan masa singkat itu termasuk bagaimana rakyat akan ditempatkan buat sementara, bagaimana mereka terus terjaga, bagaimana mahu merentas sempadan dan sebagainya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Putrajaya hari ini.

Ia merupakan sebahagian daripada rangka lawatan kerja Dr Balakrishnan selama dua hari di negara ini, yang akan berakhir esok.

Selain Hishammuddin, beliau turut dijadualkan untuk membuat panggilan hormat ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, Dr Balakrishnan juga akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Koordinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh setahun yang lepas, hubungan rapat Malaysia dan Singapura memungkinkan bekalan barangan penting terus berjalan antara dua negara berkenaan.

“Sama ada sayur-sayuran, barangan keperluan harian, ubat-ubatan, dan yang terbaharu bagaimana bekalan vaksin berjaya merentasi sempadan Tambak, atau daripada Changi ke KLIA.

“Ini semua bukti bagaimana ia masih boleh terus berjalan dengan baik. Saya harap anda dapat lihat betapa pentingnya hubungan kukuh dua negara. Mengapa kita jangan sesekali cuba mengambil mudah, sebaliknya terus mengukuhkan hubungan sedia ada demi kepentingan rakyat dua negara ini,” katanya lagi.