Malaysia dan Singapura hari ini menggantung had pelabuhan bertindih dan melaksanakan had pelabuhan masing-masing yang berkuat kuasa pada 25 Okt dan 6 Dis 2018.

Penggantungan secara bersama had pelabuhan bertindih itu berkuat kuasa 12.01 tengah malam tadi, kata jurucakap Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam responsnya kepada media.

"Penggantungan itu merupakan satu daripada lima syor dalam laporan kumpulan kerja mengenai isu-isu maritim berhubung pertindihan had Pelabuhan Johor Bahru berhampiran Tanjung Piai dan had Pelabuhan Singapura berhampiran Tuas yang dipersetujui oleh kedua-dua menteri luar Malaysia dan Singapura pada 14 Mac 2019, bagi mengendurkan situasi serta membuka jalan bagi persempadanan maritim," kata jurucakap itu.

BACA: Singapura tarik balik ILS, Malaysia gantung kawasan larangan

Pada 14 Mac lepas, kedua-dua negara mengumumkan akan melaksanakan lima syor tersebut bagi menyelesaikan isu maritim berhubung had pelabuhan masing-masing.

Penubuhan kumpulan kerja itu dipersetujui pada mesyuarat dua hala pertama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan yang berlangsung di sini pada 8 Jan lepas.

Kumpulan itu diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia.

-- BERNAMA