Skip to main content

Malaysia

Malaysia dicadang jadi titik masuk penyelarasan model penyerahan tunggal peranti perubatan ASEAN

Dzulkefly Ahmad -- FB Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly berkata perbincangan bersejarah itu disertai Menteri-Menteri Kesihatan serta perwakilan delegasi ASEAN dari Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam, Timor-Leste, Indonesia dan Filipina. - Foto Facebook/Dr Dzulkefly Ahmad
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dicadang menjadi titik masuk penyelarasan bagi pelaksanaan awal kerangka Model Penyerahan Tunggal untuk kelulusan prapasaran peranti perubatan di ASEAN, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata cadangan itu mendapat sokongan penuh negara anggota ASEAN semasa Perbincangan Meja Bulat ASEAN Pertama mengenai Peranti Perubatan anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) yang dipengerusikannya pada Rabu.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr Dzulkefly berkata perbincangan bersejarah itu disertai Menteri-Menteri Kesihatan serta perwakilan delegasi ASEAN dari Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand, Vietnam, Timor-Leste, Indonesia dan Filipina.

“Hasil perbincangan, kesemua negara anggota bersetuju secara prinsip untuk menyokong pembangunan Model Penyerahan Tunggal secara berfasa bagi kelulusan prapasaran peranti perubatan.

“Lebih membanggakan, mesyuarat menyokong penuh agar Malaysia bertindak sebagai titik masuk penyelarasan bagi pelaksanaan awal kerangka ini, khususnya untuk menerima dan menyelaras pengagihan dosir teknikal,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata menerusi model berkenaan, pihak berkuasa kawal selia negara anggota ASEAN dapat meminimumkan pertindihan kerja dalam proses penilaian dan kelulusan peranti perubatan.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap negara tetap mengekalkan kuasa pemutus akhir bagi pendaftaran peranti perubatan berdasarkan kedaulatan perundangan masing-masing.

Dr Dzulkefly berkata susulan persetujuan itu, Jawatankuasa Peranti Perubatan ASEAN bersama dengan Sekretariat ASEAN akan dipertanggungjawab untuk merangka mekanisme pelaksanaannya menjelang mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Vientiane, Laos dari 6 hingga 8 Okt ini.

“Inisiatif strategik ini akan memperkukuh keselamatan pesakit serta memastikan rantau ini mendapat akses yang pantas dan saksama kepada peranti perubatan yang berkualiti,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement