PUTRAJAYA:Kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan vaksin COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah vaksin tersebut akan dapat memenuhi keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat Malaysia.


Menurutnya, melalui perjanjian itu, Pfizer juga telah menjanjikan penghantaran sebanyak 1 juta dos vaksin pada suku pertama tahun 2021.

“Ini disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

“Pihak syarikat bagaimanapun masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori dari negara pengeluar.

“Mereka juga perlu mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia,” katanya pada sidang media secara sidang maya di sini pada Jumaat.

Turut menyertai sidang media itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tambah beliau, proses pemberian vaksin akan dilakukan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mudah mendapat jangkitan sebelum diperluaskan kepada kumpulan sasar yang lain.

“Terdahulu pada 22 November 2020, Malaysia melalui Menteri Kesihatan juga telah menandatangani perjanjian dengan fasiliti COVAX untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi 10 peratus rakyat Malaysia.

“Sehubungan itu, kedua-dua perjanjian ini dijangka dapat menjamin akses vaksin COVID-19 untuk 30 peratus rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tegasnya, kerajaan memberi jaminan vaksin yang akan digunakan di Malaysia mesti melepasi syarat ketat ditetapkan NPRA.

Tambahnya lagi, KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga giat meneruskan rundingan dengan syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan akses kepada vaksin COVID-19 yang secukupnya untuk rakyat Malaysia.