SUNGAI PETANI: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata sebagai seorang politik beliau perlu sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan yang bakal berlaku termasuk mengenai masa depannya bersama parti Bersatu.

Menurutnya, setakat ini beliau masih menunggu surat dari Bersatu berhubung pindaan perlembagaan parti itu bagi pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak dan bertentangan dengan parti atau musuh.

"Nak tengok surat itu dahulu. Sebagai seorang ahli politik kita bersedia sahaja apa pun yang akan berlaku kita bersedia tetapi kita nak tengok apa jawapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebagai seorang ahli politik yang hanya bukan sahaja berkhidmat pada waktu tertentu kita bersedia apa juga kemungkinan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering di Taman Rekreasi Bandar Perdana, Sungai Petani, pada Sabtu.

Pada Selasa, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu yang dipinda selepas diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kelulusan itu membolehkan parti mengambil langkah seterusnya, iaitu mengosongkan enam kerusi Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac pula, seorang ADUN Bersatu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.