Malaysia gesa APEC terjemah Visi Putrajaya 2040 kepada kerjasama digital yang praktikal

Mohamad berkata, rantau Asia Pasifik perlu menangani risiko sistemik seperti jurang digital, piawaian yang berpecah-belah dan jurang dasar yang boleh menjejaskan pertumbuhan inklusif. - Gambar/ APEC Secretariat
GYEONGJU, Korea Selatan: Malaysia menggesa ekonomi-ekonomi APEC menterjemahkan Visi Putrajaya 2040 kepada bentuk kerjasama yang bersasar dan praktikal, khususnya dalam bidang digital.
Ringkasan AI
- Malaysia menggesa ekonomi APEC agar menterjemahkan Visi Putrajaya 2040 kepada bentuk kerjasama bersasar dan praktikal, khususnya dalam bidang digital, bagi menangani jurang digital, piawaian berpecah-belah dan dasar yang tidak selaras.
- Tiga bidang utama kerjasama yang digariskan termasuk pendigitalan hijau melalui infrastruktur digital cekap tenaga, pembangunan garis panduan asas kecerdasan buatan (AI), serta tadbir urus data rentas sempadan yang berasaskan kepercayaan dan pembangunan kapasiti.
- Malaysia bersedia menyumbang melalui Program MTCP dan mengetengahkan usaha domestik seperti Dasar 4IR, Pelan Hala Tuju AI, serta Dasar Industri Kreatif Negara untuk memacu inovasi inklusif dan bertanggungjawab, sejajar dengan matlamat pertumbuhan mampan dan keterangkuman serantau.
“Untuk menangani cabaran ini, Malaysia menggesa APEC agar menterjemahkan Visi Putrajaya 2040 kepada kerjasama praktikal yang mencerminkan matlamat bersama dan tahap kesiapsiagaan yang berbeza,” katanya dalam intervensi beliau pada Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) di sini hari ini.
Beliau turut menggariskan tiga bidang utama kerjasama termasuk mempercepat pendigitalan hijau melalui pembangunan infrastruktur digital yang cekap tenaga dan sejajar dengan aspirasi sifar bersih serta daya tahan iklim.
Antara lain termasuk mengurangkan ketidakselarasan peraturan dengan membangunkan garis panduan asas kecerdasan buatan (AI), termasuk senarai semak ketelusan dan alat penilaian kendiri.
Pada masa sama membina keyakinan dalam tadbir urus data rentas sempadan melalui peraturan yang jelas, pembangunan kapasiti dan rangka kerja berasaskan kepercayaan.
Mohamad berkata, Malaysia bersedia menyumbang melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang telah melatih lebih 38,000 peserta dari 144 negara.
“Di bawah program ini, Malaysia boleh menganjurkan bengkel dan pertukaran dasar yang tertumpu kepada tadbir urus privasi, kesiapsiagaan perlindungan data dan etika AI yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau turut mengetengahkan usaha domestik Malaysia dalam memacu inovasi yang inklusif dan bertanggungjawab, termasuk Inisiatif Malaysia Digital, Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR) Kebangsaan dan Pelan Hala Tuju AI 2021–2025.
Katanya, Pelan Tindakan AI 2026–2030 dan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI Kebangsaan yang bakal diperkenalkan akan memperkukuh prinsip ketelusan, keselamatan dan akauntabiliti dalam aplikasi AI merentas industri.
Mohamad turut menyatakan bahawa Malaysia sedang memperkukuh industri kreatif dan budaya melalui Dasar Industri Kreatif Negara, dengan tumpuan kepada pembangunan harta intelek tempatan, pengukuhan ekosistem pengeluaran-ke-pengedaran serta menarik pelaburan dalam penciptaan kandungan digital.
“Kerjasama digital ialah jambatan kita menghubungkan inovasi kepada keterangkuman, dan pertumbuhan kepada kemampanan,” katanya.
AMM dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Korea Selatan, Cho Hyun dan Menteri Perdagangan, Yeo Han-Koo.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


