Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Malaysia gesa pendekatan lebih canggih tangani penipuan dalam talian

71765333428_Cyberscammergene.jpg
Penipuan dalam talian rentas sempadan kini menjadi jenayah terancang yang sangat kompleks dan beroperasi merentasi sempadan. - Gambar hiasan
Advertisement

PHNOM PENH: Seorang pegawai Malaysia hari ini menggesa pendekatan yang lebih canggih untuk menangani penipuan dalam talian, sambil menegaskan bahawa latihan teknologi terkini bagi pegawai penyiasat adalah penting bagi memerangi ancaman yang telah berkembang ke peringkat global.

Timbalan Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Dalam Negeri Mohd Azlan Mohd Razali berkata penipuan dalam talian kini menjadi jenayah terancang yang sangat kompleks yang beroperasi merentasi sempadan, mengeksploitasi teknologi serta menjana keuntungan haram yang lumayan.

“Rangkaian penipuan boleh merekrut mangsa dan individu yang membantu operasi di sesebuah negara, mengendalikan infrastruktur di negara lain, menyasarkan mangsa merentasi pelbagai bidang kuasa, serta memindahkan hasil haram mereka melalui negara lain pula.

“Dalam situasi ini, tiada negara yang mampu melumpuhkan rangkaian ini secara berkesan jika bertindak sendirian. Oleh itu, kita memerlukan kerjasama yang lebih pantas, lebih berorientasikan tindakan operasi, serta diperkasakan dengan keupayaan teknologi lebih tinggi,” kata Mohd Azlan dalam sesi perbincangan panel Persidangan Antarabangsa mengenai Membanteras Penipuan Dalam Talian hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu, penyiasat tidak boleh bergantung pada teknik penyiasatan tradisional semata-mata.

“Mereka perlu memahami bagaimana penjenayah menggunakan teknologi baharu yang sedang berkembang dan, yang sama pentingnya, bagaimana penyiasat sendiri boleh memanfaatkan teknologi untuk mengesan, menganalisis serta melumpuhkan aktiviti jenayah,” katanya.

Latihan tersebut harus merangkumi bidang-bidang seperti pengesanan penipuan berasaskan kecerdasan buatan, pengecaman palsuan wajah (deepfake), forensik digital, pengesanan jejak mata wang kripto, perisikan sumber terbuka, bukti elektronik, penyiasatan siber dan analitis data lanjutan.

Beliau berkata latihan penyiasat dan pembangunan kapasiti teknologi menerusi Kompleks Inovasi Global Interpol di Singapura adalah penting dalam memerangi penipuan dalam talian, di samping kerjasama dengan syarikat teknologi global.

“Cabaran yang kita hadapi bukan sekadar untuk menangkap lebih ramai penipu. Matlamatnya adalah untuk melumpuhkan rangkaian, infrastruktur dan keupayaan yang membolehkan mereka beroperasi merentasi sempadan serta menyesuaikan diri dengan lebih pantas berbanding sistem penguatkuasaan kita.

“Lakukan pelaburan dalam pembangunan kapasiti teknologi secara berterusan, hubungkan pusat-pusat antijenayah penipuan di seluruh rantau ini bagi membolehkan pertukaran perisikan pantas serta operasi yang diselaraskan, dan bina kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta dengan syarikat teknologi global,” kata Mohd Azlan.

Perwakilan daripada 27 negara dan institusi antarabangsa, termasuk Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Interpol dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, telah mengemukakan pandangan mereka mengenai ancaman aktiviti penipuan dalam talian yang semakin meningkat dalam persidangan itu.

Persidangan antarabangsa itu diadakan di Phnom Penh memandangkan Kemboja sedang giat berusaha untuk menghapuskan pusat penipuan dalam talian dan kegiatan perjudian haram yang telah bercambah di seluruh negara itu.

 Berlangsung dari 23 hingga 24 Sept, persidangan turut menerima pakai Deklarasi Phnom Penh, yang menggariskan pelan tindakan untuk melumpuhkan ekosistem jenayah.

Pasukan keselamatan Kemboja telah menutup lebih 650 pusat penipuan dan lebih 45,000 warga asing yang didakwa direkrut untuk bekerja di pusat-pusat penipuan berskala besar ini telah dihantar pulang tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement