Malaysia gesa perkukuh integriti serantau perangi rasuah - Azalina

Azalina menyaksikan penyerahan jawatan pengerusi ASEAN-PAC daripada Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia Fitroh Rohcahyanto kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki hari ini. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa negara anggota ASEAN untuk memperkukuh integriti serantau menerusi akauntabiliti bersama dan kerjasama awam-swasta yang lebih erat, bagi memerangi rasuah.
Ringkasan AI
- Malaysia gesa negara ASEAN perangi rasuah secara bersama melalui akauntabiliti serantau dan kerjasama awam-swasta yang lebih erat, demi memastikan pembangunan kekal berteraskan integriti dan keadilan.
- Malaysia kini pengerusi baharu ASEAN-PAC, dengan fokus kepada inovasi, penyelarasan digital dan perkongsian ilmu untuk memperkukuh kerjasama antirasuah serantau.
- Portal ASEAN-PAC dilancarkan sebagai platform digital untuk meningkatkan ketelusan dan penyelarasan antara agensi antirasuah ASEAN, selaras dengan usaha memperkukuh integriti dan daya saing ekonomi.
Azalina, yang menyaksikan penyerahan jawatan pengerusi ASEAN-PAC daripada Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia Fitroh Rohcahyanto kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, berkata forum itu berfungsi sebagai platform utama bagi negara anggota untuk bertukar idea dan membina rangka kerja baharu bagi mengukuhkan kerjasama antirasuah serantau.
Beliau berkata pembaharuan perundangan dan institusi Malaysia yang berterusan mencerminkan kepercayaan negara bahawa memerangi rasuah mesti merentasi sempadan dan diterima sebagai misi serantau.
Sementara itu, Azam berkata pelantikan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN-PAC mencerminkan tanggungjawab penting pada peringkat serantau dan komitmen baharu untuk memperkukuh perpaduan serta kerjasama antara institusi antirasuah ASEAN.
"Peranan ini merupakan tanggungjawab besar untuk memperkukuh misi bersama dalam mempertahankan integriti dan tadbir urus yang baik," katanya sambil menambah sepanjang tempoh menyandang jawatan itu, Malaysia akan menumpukan kepada usaha memperkasakan kerjasama antirasuah ASEAN melalui inovasi, penyelarasan digital dan perkongsian ilmu.
Beliau turut mengumumkan pelancaran Portal ASEAN-PAC, sebuah platform digital bagi memudahkan penyelarasan dan meningkatkan ketelusan dalam kalangan anggota agensi serta menekankan kepentingan menyelaraskan integriti dengan daya saing ekonomi
Sementara itu, pengerusi terdahulu Fitroh Rohcahyanto merakamkan penghargaan kepada semua anggota ASEAN-PAC atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh Indonesia menyandang jawatan itu, termasuk kejayaan pelaksanaan inisiatif serantau seperti Bengkel Pembangunan Kapasiti ASEAN-PAC dan Festival Filem Antirasuah.
"Apabila Malaysia menerajui kepimpinan, kami yakin ASEAN-PAC akan terus memberikan syor yang bernas kepada Sidang Kemuncak ASEAN dan memainkan peranan lebih besar dalam membentuk dasar antirasuah di seluruh rantau ini," katanya.
Mesyuarat tiga hari itu yang berakhir pada 30 Okt menghimpunkan pegawai kanan antirasuah serantau serta rakan antarabangsa termasuk Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Azam berkata Malaysia menerusi ASEAN-PAC akan mengundang pakar daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Akademi Antirasuah Antarabangsa (IAC) serta 11 negara anggota ASEAN untuk berkongsi pandangan serta cadangan dasar pada mesyuarat selama tiga hari itu.
"Sesi ini bukan sekadar perbincangan tetapi juga bertujuan mencapai kesepakatan mengenai pelan tindakan yang akan dilaksanakan oleh semua negara anggota ASEAN.
"Kita perlu faham bahawa pematuhan terhadap tadbir urus adalah sama penting dengan kecekapan pelaksanaan dalam membanteras gejala rasuah," katanya.
Beliau sekali lagi mengulangi komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN-PAC 2025-2026 untuk memastikan kerjasama serantau dan penyelarasan dasar diteruskan dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan pembanterasan rasuah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


