KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa serangan yang didakwa dilakukan kumpulan Houthi terhadap kawasan awam di kota suci Mekah dan wilayah Madinah dihentikan serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian tempat-tempat suci tidak boleh diterima.
Katanya, gesaan itu susulan insiden sebuah dron yang berjaya dipintas berhampiran Mekah.
Malaysia turut menzahirkan dukungan kepada Kerajaan Arab Saudi serta menghargai tindakan pantas yang diambil bagi memastikan keselamatan penduduk dan jemaah di Mekah terus terpelihara.
"Insiden ini sekali lagi mengingatkan kita akan keperluan untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan yang lebih meruncing di rantau tersebut," katanya dalam hantaran di Facebooknya, di sini pada Rabu.
Selain itu Anwar berkata, semua pihak yang terlibat perlu memilih jalan damai menerusi dialog bagi meredakan ketegangan serta mencari penyelesaian tanpa berlengah.
Perkembangan terbaharu yang dilaporkan media Arab Saudi mengesahkan ancaman tersebut merupakan sebuah dron yang dilancarkan kumpulan Houthi dari Yemen.
Pertahanan Udara Diraja Saudi memintas dan memusnahkannya di selatan Mekah pada pukul 6.50 petang waktu tempatan semalam sebelum ia memasuki ruang udara larangan bandar suci itu.