KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat mempelajari pengalaman India dalam pelaksanaan dasar keterjaminan makanan selaras usaha merangka Akta Keterjaminan Makanan Negara, khususnya berkaitan pengurusan stok penimbal strategik, sistem pengagihan dan tadbir urus rantai bekalan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, perkara itu dinyatakan Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Kesejahteraan Petani India, Shri Shivraj Singh Chouhan di New Delhi.
Dalam pertemuan itu, Malaysia turut menzahirkan penghargaan atas peranan India sebagai rakan dagang utama dan pembekal komoditi kritikal seperti beras, daging serta bawang.
“Kerjasama di antara kedua-dua buah negara dalam pengukuhan kapasiti bank benih atau gene bank juga akan dipelopor,” menurut kenyataan itu.
Mohamad mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN-India (AIMMAF) ke-9 yang berlangsung di New Delhi pada Rabu.
KPKM memaklumkan, mesyuarat itu membincangkan kesan ketidaktentuan global terhadap sektor makanan, pertanian dan perhutanan serta bentuk kerjasama dalam kalangan negara ASEAN dan India bagi sektor berkenaan.
AIMMAF kali ini menumpukan kepada inisiatif serantau bagi mendepani cabaran geopolitik, ekonomi, perubahan iklim, serta ketidaktentuan pasaran tenaga dan input pertanian demi menjamin keterjaminan makanan serta kelangsungan rantaian bekalan.
“Selain itu, mesyuarat meneliti pencapaian Pelan Tindakan Jangka Sederhana Kerjasama Pertanian dan Perhutanan ASEAN-India (2021-2025), serta mempertimbangkan kelulusan pelan tindakan baharu bagi tempoh 2026-2030,” menurut kenyataan itu.
Kemajuan projek di bawah Kumpulan Kerja ASEAN-India mengenai Pertanian dan Perhutanan (AIWGAF) turut diberi perhatian termasuk penawaran 50 biasiswa ASEAN-India Fellowship setiap tahun di universiti pertanian India serta kejayaan program pembangunan kapasiti teknologi lepas tuai.
Mesyuarat juga menyambut baik cadangan pelaksanaan program baharu pembangunan kapasiti berasaskan kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT) dan pembelajaran mesin bagi precision agriculture yang dijadualkan pada suku keempat 2026 atau suku pertama 2027, selain Farmers’ Exchange Programme bagi membolehkan pertukaran pengetahuan secara terus antara petani ASEAN dan India.
Singapura akan menjadi tuan rumah Mesyuarat AIMMAF ke-10 pada tahun depan.
-- BERNAMA