Malaysia telah mengenal pasti beberapa bidang strategik dan pelaburan yang perlu dipereratkan dalam kolaborasinya dengan Amerika Syarikat.

Perkara berkenaan dijelaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja beliau ke San Francisco dan New York.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, lawatan kali ini juga memberi galakan kepada syarikat dari Amerika Syarikat untuk mempertingkatkan pelaburan mereka di Malaysia.

Ia bukan sahaja dari segi kuantiti tetapi juga dari segi penerapan teknologi baharu.

Lawatan bermula dari 22 hingga 29 September yang disifatkannya membawa banyak tujuan termasuk langkah yang diambil Malaysia di peringkat global untuk dipadankan dengan matlamat induk negara dalam melakukan transformasi.

Beliau berkata negara ini perlu menambah pengetahuan mendalam dalam bidang berkenaan untuk membantu memperkasakan lagi usaha dan proses ke arah mencapai impian menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Ditanya tentang tempoh lawatan yang panjang, Perdana Menteri berkata itu disebabkan ia merangkumi pelbagai inisiatif, serta lawatan yang sepatutnya diadakan dua kali telah digabungkan agar menjadi hanya satu kunjungan.