Malaysia sebenarnya telah berjaya melepasi sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor awam, kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri perdana menteri itu berkata pencapaian sebenar negara ialah 35.8 peratus wanita di peringkat pengurusan tertinggi sektor awam manakala bagi sektor korporat pula, Malaysia hampir mencapai sasaran yang ditetapkan dengan pencapaian sebenar 29.9 peratus.

Malaysia merupakan satu-satunya negara yang meletakkan sasaran dan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor awam dan korporat, katanya ketika berucap pada perasmian majlis minum petang sempena ulang tahun ke-48 majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn Bhd (UKSB), di sini pada Khamis.

"Dalam tempoh 10 tahun ini, kaum wanita di Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan yang signifikan dan membanggakan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa, sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik, sains kesihatan, sains angkasa dan kesenian.

"Antaranya, Malaysia berjaya mencapai pariti dari sudut penyertaan tenaga kerja dengan penglibatan tenaga kerja wanita meningkat daripada 47 peratus pada 2015 kepada 52 peratus pada 2016," katanya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Syukri; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Datuk Mohd Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Majalah UKSB, Arffin Nordin.

Rosmah berkata kejayaan itu jelas menunjukkan bahawa dalam sektor pekerjaan, kaum wanita adalah sebahagian daripada modal insan yang berpotensi menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

Beliau berkata peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan keusahawanan serta perubahan sosiobudaya dalam kalangan masyarakat membolehkan wanita bergerak progresif dan berpeluang untuk menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

Katanya dari segi ekonomi, kesihatan dan pendidikan pula, 'The Global Gender Gap Report 2016' melaporkan bahawa Malaysia telah mencapai tahap pariti yang hampir setaraf dengan negara maju.

Ini katanya diperkukuhkan lagi dengan sokongan kerajaan yang sentiasa mengambil berat tentang isu dan kepentingan wanita serta mengiktiraf wanita selaku rakan pembangunan negara.

"Saya akui bukan mudah untuk kaum wanita yang bertindak selaku isteri, ibu dan wanita berkerjaya untuk mendepani arus perdana pembangunan globalisasi yang penuh dengan liku-liku cabaran.

"Namun, berdasarkan kejayaan dan pencapaian gemilang ini, ternyata bahawa negara kita telah menampakkan perubahan magnitud yang besar dalam melaksanakan agenda-agenda memperkasakan pencapaian wanita dan menangani pelbagai isu wanita lain.

"Jika mahu dibandingkan dengan senario global semasa, kedudukan kita sebagai wanita Malaysia ternyata jauh lebih baik berbanding negara lain," katanya.

Pada majlis itu, Rosmah menerima Anugerah Tokoh Wanita bagi mengiktiraf jasa, sumbangan dan kecemerlangannya dalam pembangunan kaum hawa di peringkat nasional dan antarabangsa.

Anugerah disampaikan oleh Mohd Noordin.

-- BERNAMA