PUTRAJAYA: Malaysia dan Maldives akan saling mengiktiraf lesen memandu domestik yang dikeluarkan kedua-dua negara berkuat kuasa 12 Sept ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Dalam hantaran di Facebooknya, Wee berkata ini merupakan Perjanjian Saling Mengiktiraf (MRA) bilateral pertama yang Malaysia tandatangani dengan negara asing.

MRA itu ditandatangani Wee dan Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Awam Maldives Aishath Nahula di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

"Menerusi MRA ini, rakyat kedua-dua negara boleh terus menggunakan lesen memandu domestik masing-masing dan memandu kenderaan bermotor dibenarkan dalam wilayah masing-masing tanpa perlu melalui proses mendapatkan lesen memandu tempatan atau membuat sebarang perubahan kepada lesen sedia ada mereka," katanya.

Wee berkata MRA ini akan memudah cara pergerakan rakyat kedua-dua negara yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor sosial dan ekonomi Malaysia dan Maldives.

"Kami sedia untuk mengadakan lebih banyak kerjasama dalam pengangkutan dengan Maldives," kata Wee.

-- BERNAMA