KUALA LUMPUR: Malaysia mesti menjadi pendahulu dalam penyediaan perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) terbaik dalam industri penerbangan di rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ke arah usaha itu, Institut Teknologi Penerbangan Universiti Malaysia (UniKL MIAT) boleh menjadi institusi terkemuka di negara ini bagi menyediakan tenaga kerja mahir MRO dan industri penerbangan.

"Malaysia ingin dikenali sebagai penyedia perkhidmatan MRO di rantau ini. Sewaktu saya sebagai Menteri Pertahanan, MRO adalah antara fokus saya terutamanya dalam mempromosikan industri pertahanan.

"Sekarang ini kita lihat penerbangan komersial dan kargo, serta pasaran yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pertukaran dokumen usaha sama antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) dan rakan industri, di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata institusi TVET lain dialu-alukan untuk bekerjasama dengan UniKL MIAT, kerana institusi itu telah melahirkan siswazah yang mempunyai kadar kebolehpasaran tinggi dan telah bekerja di lebih 20 negara, seluruh dunia.

Sementara itu, beliau berkata 280 institusi TVET di bawah KKDW dan agensinya telah diarahkan supaya bekerjasama erat dengan pemain industri bagi memastikan siswazah lulusan institusi mereka seiring dengan kehendak pasaran.

"Kadar kebolehpasaran mestilah meluas. Matlamat saya adalah untuk mendapatkan 100 peratus kadar kebolehpasaran dengan graduan dari UniKL dan institut TVET. Saya berharap lebih ramai pemain industri akan menyertai kami di TVET@KKDW, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata selain dibantu dasar kerajaan yang mesra pelabur, TVET memainkan peranan besar untuk menjayakan sasaran kerajaan untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia tahun ini dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pada majlis itu, sebanyak 18 syarikat rakan industri dalam bidang teknologi darat, laut dan udara memeterai jalinan usaha sama strategik bersama institusi pendidikan TVET di bawah KKDW iaitu GIATMARA, Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sementara itu dalam bidang teknologi laut membabitkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, Vale Malaysia Minerals Sdn Bhd dan Radimax Group Sdn Bhd, manakala teknologi udara membabitkan Turkish Aerospace Inc., Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd dan Hammock Helicopter Sdn Bhd.

Melalui konsep Industry Based Education Training (IBET) yang dilaksanakan oleh Institusi TVET@KKDW, usaha sama itu terus dipergiatkan menerusi model Teaching Factory yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi pemindahan dan perkongsian pengetahuan kemahiran serta teknologi selain meningkatkan kompetensi pelajar.

-- BERNAMA