KUALA LUMPUR: Kemasukan pelabur seperti Amazon Web Services (AWS) dan pelbagai syarikat yang memilih Malaysia sebagai pusat pemprosesan data serantau mampu menjadikan Malaysia sebagai Harimau Digital Asia, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keputusan Amazon membuat pelaburan RM25.5 bilion adalah satu petanda lebih ramai pelabur akan melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang sesuai untuk mereka.

"Kini banyak syarikat yang memilih Malaysia sebagai pusat memproses data terutamanya di Johor, Cyberjaya dan Pulau Pinang.

"Memandangkan Malaysia menjadi hab pusat data bagi rantau ini dan seterusnya, negara boleh menjadi tempat latihan bagi pegawai pemprosesan data untuk rantau ini," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Invest Malaysia di sini pada Rabu.

Menurut Fahmi kemasukan pelaburan tersebut turut memberi kesan kepada ekonomi setempat, tenaga kerja dan ekonomi negara.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata politik stabil dan dasar yang jelas dalam negara menjadi faktor utama AWS memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan AWS bernilai RM25.5 bilion menjelang 2037 memberi dampak yang tinggi kerana ia menambah keyakinan pelabur luar terhadap negara.

-- BERNAMA