MALAYSIA
Malaysia masih kekurangan 100,000 jurutera untuk capai nisbah ideal - Nanta

Nanta ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan 2025 (NEC 2025) di sini, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia masih berhadapan kekurangan kira-kira 100,000 jurutera bagi memenuhi keperluan pembangunan negara, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Ringkasan AI
- Negara masih kekurangan kira-kira 100,000 jurutera untuk mencapai nisbah ideal seorang jurutera bagi setiap 100 rakyat.
- Kerajaan giat memperkasakan program TVET untuk melahirkan lebih ramai jurutera dan sedang meneliti cara memastikan graduan kejuruteraan kekal dalam bidang tersebut.
- Insiden kemalangan motosikal di Persiaran Mokhtar Dahari disebabkan jalan berpasir berhampiran projek perumahan.
Nanta berkata usaha menampung kekurangan tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan sedang giat dijalankan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk pemerkasaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Saya menyambut baik apa yang telah diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merancakkan lagi program TVET, supaya sasarannya sampai 60,000 orang. Daripada usaha itu, sasaran 100,000 itu kita boleh capai dalam masa terdekat," katanya.
Nanta turut menekankan keperluan untuk memastikan graduan kejuruteraan kekal dalam bidang berkenaan dan tidak beralih ke sektor lain, hanya kerana tawaran pendapatan awal yang lebih tinggi.
"Kita tidak mahu graduan kejuruteraan tapi memilih bidang lain, dan disebabkan itu kerajaan perlu melihat bagaimana nak memastikan minat graduan jurutera ini supaya kekal dalam bidang ini," katanya.
Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR), sedang meneliti langkah yang sesuai untuk menangani isu itu termasuk menyediakan ekosistem pekerjaan yang lebih menarik bagi graduan jurutera.
Sementara itu, mengulas mengenai insiden kemalangan motosikal di Persiaran Mokhtar Dahari semalam, Nanta berkata kejadian itu berlaku di kawasan seliaan kerajaan negeri dan syarikat konsesi yang dilantik.
"Jika kemalangan itu berlaku kerana kerosakan jalan, saya berharap syarikat konsesi itu mengambil tindakan segera supaya dapat mengelakkan kemalangan sama berulang di kawasan itu," katanya.
Menurut laporan yang dikeluarkan Infrasel Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, kemalangan itu berlaku berdekatan kawasan projek perumahan yang menyebabkan jalan sekitar menjadi berpasir.
Sebagai tindakan awal, pihak konsesi sedang melaksanakan kerja pembersihan sementara di lokasi kejadian sebelum kerja menggred jalan di sepanjang kawasan terbabit dilakukan bagi memastikan laluan tersebut selamat digunakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami