Skip to main content

Malaysia

Malaysia mula siasatan anti-lambakan keluli dari China, Taiwan, Vietnam -- MITI

41741014709_TBMiti.jpg
Malaysia telah memulakan penyiasatan duti anti-lambakan ke atas import produk gulungan rata keluli aloi lain dan bukan aloi, disalut dengan aluminium atau zink, yang berasal atau dieksport dari China, Taiwan dan Vietnam (dagangan subjek).
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia telah memulakan penyiasatan duti anti-lambakan ke atas import produk gulungan rata keluli aloi lain dan bukan aloi, disalut dengan aluminium atau zink, yang berasal atau dieksport dari China, Taiwan dan Vietnam (dagangan subjek).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui satu kenyataan berkata pada 19 Jun tahun ini, kerajaan telah menerima petisyen daripada pengeluar domestik, NS Bluescope Malaysia Sdn Bhd yang meminta siasatan duti anti lambakan dijalankan.

Petisyen itu mendakwa bahawa import barangan subjek yang berasal atau dieksport dari negara terbabit dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga jualan tempatan mereka di negara-negara tersebut.

MITI berkata pempetisyen seterusnya mendakwa import yang dilambakkan dari negara terbabit telah meningkat dari segi kuantiti mutlak dan telah menyebabkan kerencatan material kepada industri domestik. 

“Kerajaan telah menilai dan mempertimbangkan maklumat termasuk bukti lambakan, kecederaan serta kesan hubung kait yang dinyatakan dalam Petisyen dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan duti anti-lambakan ke atas import barangan subjek itu berdasarkan Seksyen 20 Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) serta Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan Duti 1994 (Peraturan),” kata MITI. 

Kerajaan juga telah menentukan Tempoh Penentuan Kecederaan (POID) dan Tempoh Penyiasatan (POI) bagi siasatan ini seperti berikut: Tahun 1 (1 Jan 2023 – 31 Dis 2023), Tahun 2 (1 Jan 2024 – 31 Dis 2024) dan Tahun 3 (POI) 1 Jan 2025 – 31 Dis 2025 (POI).

MITI berkata mengikut Akta 504 dan peraturan, penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh permulaan.

“Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara pada kadar yang perlu untuk mengelakkan kecederaan selanjutnya kepada industri dalam negera,” kata kementerian itu.

Semua penyerahan maklumat dan maklum balas soal selidik mesti dibuat melalui cara elektronik melalui Sistem Pengurusan Penyiasatan Remedi Perdagangan (TRIMA), yang boleh diakses melalui  https://traderemedies.miti.gov.my.

Pihak berkepentingan yang berkaitan hendaklah memberikan pandangan mereka secara bertulis, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan kepada MITI melalui cara elektronik perlu dibuat kepada MITI selewat-lewatnya menjelang 17 Ogos 2026. 

 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement