IPOH: Persidangan Meja Bulat Peringkat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2026 berperanan sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani cabaran pembandaran, perumahan dan pembangunan bandar mampan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ACMROCH 2026 selari dengan kerangka global itu dengan menyatukan usaha ASEAN, China dan rakan kongsi antarabangsa secara lebih meluas bagi memastikan pembangunan bandar serantau bergerak seiring dengan misi UN-Habitat.
“... untuk membina bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan. Melalui ACMROCH 2026, kita akan membimbing pertumbuhan bandar ini dengan kebijaksanaan, inovasi dan kemampanan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada ACMROCH 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China, Ni Hong.
Bertemakan “Bandar Mampan, Perumahan Berkualiti, Komuniti Bersatu Padu”, persidangan itu menghimpunkan 300 peserta termasuk menteri, pegawai kanan kerajaan serta perwakilan daripada 11 negara anggota ASEAN.
Nga berkata AMROCH 2026 menggariskan tiga matlamat utama, iaitu kemampanan yang bermaksud pertumbuhan sambil memelihara alam sekitar serta mengutamakan masyarakat; perumahan berkualiti yakni memastikan manfaat pertumbuhan dinikmati menerusi kediaman yang selamat, selesa dan boleh dipercayai; serta komuniti bersatu padu yang memastikan kemajuan membawa masyarakat lebih dekat, selain membina kepercayaan dan masa depan bersama untuk semua.
Sementara itu, Nga berkata persidangan meja bulat berkenaan distrukturkan berdasarkan empat keutamaan yang saling berkaitan, iaitu memajukan perumahan cekap tenaga dan responsif terhadap iklim, menggalakkan perumahan berasaskan nilai serta pertumbuhan bandar inklusif, memperkukuh perkhidmatan bandar berdaya tahan dan infrastruktur mampan serta memupuk komuniti bersatu padu dan kejiranan yang boleh didiami.
Dalam perkembangan lain, Nga berkata Malaysia berbesar hati menerajui pelaksanaan Agenda Bandar Baharu selaku Presiden Perhimpunan UN-Habitat.
Beliau berkata di Malaysia, falsafah itu menjadi teras kepada Malaysia MADANI dan kemajuan perlu dipandu oleh kompas etika.
“Kita mahu membina bandar yang memenuhi keperluan naluri manusia, kejiranan yang membolehkan anak-anak membesar dengan ceria, serta ruang awam yang membantu meningkatkan kehidupan rakyat.
“Visi ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Visi Komuniti ASEAN 2045 - mewujudkan rantau yang berdaya tahan, berpandangan jauh serta berteraskan rakyat,” katanya.
Beliau berkata kini lebih 57 peratus daripada populasi global menetap di kawasan bandar dan di rantau Asia, perubahan itu lebih ketara apabila benua berkenaan menempatkan lebih separuh daripada keseluruhan penduduk bandar dunia, sekali gus meningkatkan kadar pembandaran serantau melebihi 54 peratus.
Nga berkata kepantasan perubahan itu tidak dapat dinafikan, China misalnya telah mencapai kadar pembandaran sebanyak 67 peratus, manakala Malaysia mencatat tahap maju sebanyak 78 peratus.
“Penumpuan demografi pada skala besar itu memberikan tekanan struktur terhadap infrastruktur serantau, stok perumahan dan grid tenaga.
“Keperluan terhadap pengurusan bandar yang mampan, mampu milik dan berdaya tahan iklim bukan lagi sekadar perkara yang dibincangkan dalam dasar; ia kini cabaran yang tidak boleh dinafikan serta memberikan kesan kepada kehidupan harian ratusan juta penduduk,” katanya.
-- BERNAMA