SHAH ALAM: Malaysia perlu berani memandang ke hadapan dengan merangka suatu ikhtiar jangka panjang menjelang usia 100 tahun negara, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, satu gagasan yang melampaui satu penggal pentadbiran, satu kitaran ekonomi atau satu generasi kepimpinan perlu dirangka agar Malaysia mampu menjadi negara yang bersatu padu, berpendapatan tinggi, berdaulat dan adil menjelang usia berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan satu rangka perancangan iaitu Gagasan 100 Tahun Malaysia yang memfokuskan lima perkara dengan pertama, membina sebuah bangsa yang yakin dan berbelas ihsan.
"Keyakinan sebuah negara tidak lahir daripada laungan bahawa kita sentiasa betul atau lebih baik daripada orang lain.
"Rakyat perlu tahu siapa mereka dengan memahami sejarah secara jujur dan tidak berasa terancam hanya kerana jiran mereka berbeza bahasa, agama atau adat," katanya berucap pada program Bicara Perdana Dato' Menteri Besar Selangor sempena Hari Malaysia 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Amirudin berkata, kedua ialah faktor ekonomi dalam zaman perubahan iklim yang lazimnya berkaitan pertumbuhan, pekerjaan, perdagangan dan pelaburan.
"Kita tidak boleh lagi memisahkan ekonomi daripada alam sekitar. Banjir, cuaca panas melampau, gangguan bekalan air dan ketidakstabilan pengeluaran makanan bukan lagi isu pinggiran.
"Hal ini antaranya memerlukan perancangan bandar yang lebih tahan bencana, sistem saliran dan tebatan banjir berkesan selain perlindungan hutan serta sungai," katanya.
Beliau berkata, tiga perkara lain yang perlu diberi tumpuan ialah kedudukan Malaysia di pentas dunia dan Asia, negara demokratik selain cabaran generasi muda dalam kecerdasan buatan (AI).
"Kita sedang hidup dalam zaman persaingan kuasa besar, perang perdagangan, ketegangan geopolitik dan perubahan rantaian bekalan. Pada masa sama, pusat graviti ekonomi dunia juga semakin bergerak ke Asia dan kita perlu bersedia menghadapinya," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri kini mempunyai 'dashboard' banjir bagi memantau perkembangan bencana itu dan pelaksanaan projek tebatan secara lebih terperinci.
"Sistem itu penting bagi mengenal pasti status projek terutama melibatkan projek negeri atau pihak berkuasa tempatan yang telah disiapkan tetapi projek di bawah Kerajaan Persekutuan belum selesai.
"Kerajaan negeri akan terus mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir terutama ketika musim panas yang disifatkan tempoh sesuai bagi kerja pembinaan dan naik taraf," katanya.
-- BERNAMA