KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki pasaran pusat data yang semakin berkembang dan membangun di Asia Tenggara dengan jangkaan berkembang kepada lebih AS$800 juta (RM3.54 bilion) menjelang 2025.

Menurut Laporan Pelaburan ASEAN 2020 hingga 2021, terdapat kira-kira 44 pusat data dengan 27 peratus daripadanya adalah milik asing di Malaysia.

Ketua Bahagian Kuasa Terjamin Schneider Electric Malaysia dan Brunei, Adrian Koh berkata bagaimanapun, di sebalik penerimaan meluas terhadap penggunaan teknologi akibat daripada pandemik COVID-19, namun masih terdapat jurang antara permintaan dan penawaran tenaga mahir yang terdapat di Malaysia disebabkan oleh mobiliti bakat yang tinggi.

Beliau berkata terdapat tenaga profesional mahir memilih untuk berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan peluang yang lebih baik dan pakej imbuhan yang lebih tinggi.

"Pandemik COVID-19 telah mencatatkan pecah rekod bilangan individu yang berhenti kerja, yang disebut sebagai 'The Great Resignation' atau juga 'The Great Re-Evaluation'.

"Pemberhentian besar-besaran ini, digandingkan dengan bilangan yang bersara, terus mengecilkan lagi kumpulan bakat yang sudah dalam krisis hari ini, memberikan tekanan yang lebih tinggi kepada pusat data hari ini dan menyebabkan perusahaan daripada semua saiz berebut untuk merekrut, meningkatkan kemahiran dan mengekalkan pekerja terbaik," katanya.

Koh berkata teknologi pusat data ialah kuasa besar yang menyokong ekonomi global dan majikan dalam industri itu tidak mampu kehilangan bakat justeru sudah tiba masanya untuk mereka merangka strategi yang bertimbang rasa, mengutamakan pekerja untuk pengambilan dan pengekalan tenaga kerja bagi memastikan pusat data selamat, cekap, berskala dan mempunyai kakitangan.

Ini bermakna menawarkan peluang pembelajaran dan pembangunan yang dipertingkatkan, meneroka keluar daripada huraian kerja biasa untuk pengambilan pekerja, menggalakkan kepelbagaian dan penyertaan dalam industri serta memanfaatkan teknologi terkini dan terhebat untuk meningkatkan pengalaman pekerja di semua peringkat kitaran hayat pekerja, katanya.

"Apabila 'The Great Resignation' dilihat dari sudut paling atas, temanya ialah evolusi. Pekerja dan pencari kerja mahu berada di tempat yang bagus untuk bekerja, dan ini bermakna majikan mesti memenuhi keperluan dan kehendak tenaga kerja untuk hari ini dan esok.

"Apa yang diharapkan oleh pekerja daripada syarikat pada masa sekarang akan berbeza pada tahun-tahun akan datang, dan satu-satunya cara untuk merekrut dan mengekalkan bakat terbaik secara mampan adalah untuk memahami anjakan ini dan menyesuaikan diri dengan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata terdapat lima cara syarikat boleh mula berevolusi dengan bakat hari ini dan mengatasi kekurangan bakat di pusat data serta mengekalkan bakat terbaik dalam pasaran pencari kerja termasuk menawan generasi akan datang melalui pendidikan, memfokuskan pada kemahiran yang boleh dipindahkan, mempromosikan kepelbagaian dan penyertaan dalam industri, menggunakan perisian dan perkhidmatan untuk menempatkan semula bakat dan bergantung pada rakan kongsi teknologi.

"Diburukkan lagi oleh tenaga kerja yang semakin menua, tidak timbul lagi persoalan bahawa bakat muda diperlukan untuk mengekalkan masa depan pusat data.

"Tetapi langkah pertama adalah untuk menjadikan generasi ini melihat kerjaya di pusat data sebagai pilihan yang berdaya maju dan memuaskan. Ini bermula dengan latihan dan memberi inspirasi pada usia muda, sama ada melalui latihan praktikal atau program sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM)," katanya lagi.

Koh berpandangan bahawa perubahan dalam industri tidak akan berhenti yang mana dengan teknologi baharu, seperti automasi pusat data, ia bermakna terdapat keperluan berterusan untuk kemahiran yang boleh dipindahkan ke cara kerja baharu itu.

"Menyelaraskan kelayakan kepada penyenaraian pekerjaan boleh menjadi langkah pertama ke arah memacu kumpulan bakat yang lebih banyak untuk pengendali pusat data. Ini termasuk menyelaraskan keperluan kerja di pusat data untuk membolehkan alternatif kepada ijazah kolej atau pensijilan daripada sekolah teknikal," katanya.

Beliau juga menekankan pada masa ini, wanita mewakili kira-kira lima peratus kakitangan di pusat data. Dengan merekrut secara aktif bahagian populasi yang kurang diwakili, syarikat boleh mempelbagaikan apa yang secara tradisinya merupakan tenaga kerja yang sangat homogen.

"Ini bukan sahaja menghasilkan peningkatan inovasi dan kreativiti, tetapi juga membantu menangani cabaran masyarakat yang paling mendesak hari ini," katanya.

Pada perkembangan lain, beliau berkata dengan mengambil kesempatan daripada perisian Pengurusan Infrastruktur Pusat Data (DCIM) untuk pemantauan jauh, pengurusan dan penyelenggaraan, ia mengurangkan bilangan tenaga fizikal yang diperlukan dalam pusat data, untuk operasi yang lebih cekap dan membolehkan orang ramai meningkatkan kemahiran tanpa mengambil masa untuk latihan.

Beliau berkata syarikat juga boleh bergantung kepada penyedia perkhidmatan terurus untuk merapatkan jurang terhadap keupayaan dalaman syarikat dengan membawa masuk rakan kongsi.

"Dengan matlamat dan nilai yang sama, kedua-duanya boleh bekerjasama untuk membawa nilai tertinggi kepada pelanggan semasa, sambil memastikan tiada siapa yang perlu mengatakan tidak kepada perniagaan baharu," tambahnya.

-- BERNAMA