MALAYSIA
Malaysia rujuk Blok ND6, ND7 sebagai Laut Sulawesi, bukan 'Ambalat' - Wisma Putra

Menurut Wisma Putra, Malaysia kekal komited untuk melindungi kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingannya selaras dengan UNCLOS 1982. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia merujuk kawasan maritim yang merangkumi Blok ND6 dan ND7 yang terletak dalam Peta Baharu Malaysia 1979 sebagai Laut Sulawesi dan bukan "Ambalat" seperti yang digunakan oleh Indonesia, menurut Kementerian Luar.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Sipadan dan Ligitan turut mengukuhkan lagi pendirian Malaysia ke atas kawasan maritim negara di Laut Sulawesi.
"Menteri Luar menegaskan bahawa penggunaan sebarang istilah mestilah tepat dan mencerminkan kedaulatan serta hak perundangan Malaysia ke atas kawasan berkenaan," menurut Wisma Putra, sambil menambah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut menjelaskan perkara itu di Dewan Rakyat pada 5 Ogos.
Mengenai kemungkinan pembangunan bersama antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi, Kementerian Luar berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan awal."Setakat ini, tiada sebarang persetujuan telah dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak," katanya.
Menurut Wisma Putra, Malaysia kekal komited untuk melindungi kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingannya selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).
"Sebarang perbincangan berhubung perkara ini dilaksanakan melalui mekanisma diplomatik, berasaskan perundangan dan teknikal yang ditetapkan di bawah rangka kerja dua hala sedia ada," menurut kementerian itu.
Kementerian Luar berkata ia akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Sabah bagi memastikan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara dan dilindungi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami